Berita

Atomy Malaysia nafi dakwaan sebar agama kristian

Baru-baru ini terdapat segelintir pihak yang telah mengaitkan dan menuduh Atomy Malaysia Sdn Bhd menyebarkan dakwah Kristianisasi di negara ini.

Tohmahan ini telah berlegar di semua platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Whatsapp dan sebagainya.

Atomy dalam kenyataannya berkata, dakwaan bahawa Atomy Malaysia menyebarkan fahaman Kristianisasi adalah satu tuduhan yang tidak benar, dusta, palsu, fitnah dan tidak berasas sama sekali.

“Tohmahan berniat jahat ini ternyata telah menjejaskan imej korporat syarikat dan juga ahli-ahlinya yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang agama dan bangsa. Selain itu, ia turut menjejaskan kredibiliti syarikat di mata umum. Untuk makluman, menerusi peluang perniagaan yang ditawarkan Atomy Malaysia Sdn Bhd telah banyak membantu rakyat Malaysia dalam menjana sumber pendapatan, khususnya sewaktu pandemic Covid-19 ini.

Kami ingin menegaskan bahawa Atomy Malaysia Sdn Bhd merupakan satu entiti yang bebas serta tidak terlibat dengan mana-mana fahaman politik, bangsa dan agama. Atomy Malaysia Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat jualan langsung dan bermotifkan perniagaan semata-mata. Polisi ini turut terpakai kepada semua ahli-ahlinya yang berdaftar di negara ini sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian keahlian dan polisi rasmi syarikat,” kata Pengurus Besar Atomy Malaysia, Sewon Kim.


Atomy Malaysia, katanya, tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana bangsa dan agama.

“Atomy merupakan sebuah platform terbuka yang menawarkan peluang kepada sesiapa sahaja daripada apa jua latar belakang yang berminat dalam menceburi peluang perniagaan yang ditawarkan oleh syarikat ini,” katanya.

Sejak tahun 2016 lagi, Atomy Malaysia telah menjadi sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Kami amat menitik beratkan tanggungjawab sosial korporat dan lebih RM1.8 juta telah dibelanjakan sejak dari tahun 2016 untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di negara ini.

Dalam menangani tuduhan berniat jahat ini, Atomy tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan berterusan menyebarkan pembohongan melalui platform media sosial dan saluran-saluran lain.

“Kami menyeru semua pihak agar meneliti sewajarnya tindakan masing-masing yang berterusan menyebarkan tohmahan dengan berkongsi di media sosial dan apa jua platform.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, mereka dialu-alukan untuk menghubungi syarikat secara terus bagi mendapatkan maklumat secara jelas dan tepat,” katanya.

Atomy Malaysia Sdn Bhd adalah syarikat barangan pengguna yang bergerak pesat menawarkan pelbagai produk kesihatan, kecantikan, penjagaan diri, rumah dan hidup serta produk makanan. Atomy juga dikenali sebagai pusat membeli-belah atas talian di mana pengguna boleh membeli keperluan harian mereka dengan mudah.

Atomy ditubuhkan pada tahun 2009 di Korea Selatan dan sejak itu ia telah berkembang ke lebih dari 10 buah negara di seluruh dunia.

(Visited 2,299 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button