Nasional

Asma dilantik sebagai Penasihat Sains, Inovasi dan Teknologi Negara

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan pelantikan Prof Emeritus Datuk Dr Asma Ismail sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Negara berkuatkuasa 23 Jun lalu sehingga tamat penggal Asma sebagai Presiden ASM pada 27 Disember 2022.

“Ini adalah satu usaha untuk mengukuhkan tadbir urus kerajaan dalam bidang berkenaan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata, Penasihat STI Negara bertanggungjawab mengemukakan dasar, strategi, prosedur dan langkah-langkah bagi meningkatkan pencapaian dan kelestarian negara dalam bidang tersebut.

“Beliau turut berperanan untuk mengukuhkan hubungan di antara Kerajaan dan saintis serta organisasi sains di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pengalaman Asma selama lebih 30 tahun dalam bidang sains akan menjadi sumber rujukan kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai isu.

“Pelantikan itu sebagai tanggungjawab besar dan amanah yang perlu dilaksanakan sebaiknya ke arah merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” tambahnya lagi.

Asma telah mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang menjawat beberapa jawatan penting seperti Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (2014-2016) dan Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (2019-2021).

Selain pernah menjadi Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2012 dan Universiti Sains Malaysia (USM) dari 2016 hingga 2019.

Pada 24 Mac lalu, beliau menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara Ke-14.

Di peringkat antarabangsa, beliau dilantik sebagai ahli majlis Inter Academy Panel (IAP) yang berpusat di Itali yang dianggotai oleh 102 buah negara, The Academy of Sciences for the Developing World (TWAS) dan The Islamic World Academy of Sciences.

Selain itu, beliau juga dipilih sebagai Ahli Kehormat Akademi Sains Perubatan Iran pada 2017.

 

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button