Nasionalpilihan

ATM bela nasib veteran terkesan banjir

Kementerian Pertahanan melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) akan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan akibat banjir di Johor.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, Penama akan menyalurkan bantuan barangan keperluan terutama barangan eletrik menggantikan yang baharu dan membaikpulih rumah yang terjejas akibat bencana tersebut.

Sehubungan itu menurutnya, pihak kementerian akan mengenal pasti jumlah sebenar veteran yang terkesan akibat banjir dan kerugian yang ditanggung mereka sebelum Penama menghulurkan bantuan yang diperlukan.

“Sewaktu saya melawat mangsa banjir di Kluang, Johor saya sempat bertemu dengan veteran ATM dan kita beri sumbangan akibat kerugian yang ditanggung mereka.

“Selain itu kita sedang memantau golongan ini dan bersedia membantu mereka melalui beberapa skim melalui Penama iaitu menggantikan kelengkapan rumah termasuk barangan eletrik dan kerja-kerja membaik pulih rumah yang rosak.

“Macam banjir yang berlaku di Kelantan dan Terengganu kita guna Penama untuk membantu veteran ATM dengan peruntukan yang disediakan untuk meringankan beban yang ditanggung mereka,” ujarnya kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Freeport A’Famosa Outlet anjuran Tanjung Ratna Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna Sdn. Bhd. Allan Chee dan Pengarah Urusan A’Famosa Resort Datuk Alex Lau.

Seramai 200 murid Tahun 1 bagi sesi 2023/2024 dari Parlimen Alor Gajah menerima beg sekolah, kasut, stokin, bekas pensil, pensil warna dan pensil tulis.

Adly berkata, semua bentuk bantuan daripada Penama akan disalurkan menerusi persatuan veteran sedia ada.

“Sudah menjadi dasar kementerian untuk membantu veteran ATM yang ditimpa pelbagai bencana termasuk banjir yang melanda di Johor khususnya agar beban mereka dapat diringankan,” ujarnya.

Setakat ini, tiga negeri iaitu Johor, Pahang dan Melaka masih terkesan dengan banjir yang melanda negara sejak beberapa lalu.

Sehingga kini terdapat sebanyak 45,302 mangsa banjir yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terbabit. -SM

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button