Nasional

Dr Wan Azizah gesa ibu bapa pantau penggunaan internet dan telefon pintar anak-anak

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa ibu bapa supaya cakna mengenai terma seperti ‘sexting’ dan ‘cybersex grooming’, antara gejala serius yang boleh berlaku kepada kanak-kanak tanpa pengawasan penggunaan internet dan telefon pintar.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun terdapat banyak manfaat yang boleh diperolehi daripada Internet, ada juga keburukan atau kesan negatif jika penggunaannya tidak dibendung.

“Ini termasuk pornografi, ‘Dark Web’, dan juga media sosial di mana terdapat ramai pengguna yang ingin mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak.

“Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa termasuklah mengawasi penggunaan internet dan telefon bimbit oleh anak-anak kita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan semasa berucap pada program Kembali ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen itu, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada program itu, seramai 300 murid sekolah rendah menerima sumbangan beg sekolah, kasut, stokin dan alat tulis.

Mereka juga menerima simpanan sebanyak RM20 setiap seorang jika membuka akaun SSPN hari ini dan tambahan sebanyak RM100 sumbangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program termasuk Program Keselamatan Keluarga dan Anak, iaitu ibu bapa diberi pengetahuan mengenai cara-cara membantu anak-anak berhadapan buli siber, sexting dan pengantunan kanak-kanak dalam talian.

Melalui program berkenaan yang diadakan sebanyak 335 kali sejak dilancarkan pada 2017, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata seramai 11,282 peserta seluruh negara telah menerima manfaat daripadanya setakat 12 Dis lepas.

Katanya, kerajaan juga telah melancarkan Video Pendidikan Seksual ‘Safe Touch and Bad Touch’ dan program Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP), selain melaksanakan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang merupakan komponen utama bagi Program Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif.

Beliau turut menyentuh isu rokok elektronik atau ‘vape’ dan menurutnya berdasarkan statistik didedahkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kira-kira 300,000 pelajar sekolah seluruh negara didapati terjebak dengan penggunaannya dengan 50,000 daripadanya adalah pelajar perempuan.

— BERNAMA

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button