Nasional

Tuanku Agong dan Permaisuri selamat tiba di Kuantan

Perarakan gemilang sambut Agong, Raja Permaisuri di KLIA

TERKINI, pesawat yang membawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah  telah selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM Kuantan, Pahang.

Ketibaan Tuanku baginda berdua disambut oleh Pemangku Raja Pahang, Raja Muda Tengku Hassanal.

Terdahulu, perarakan megah dan penuh warna-warni menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Menampilkan pesona dan keindahan warisan budaya Melayu, perarakan yang diatur kemas itu bukan sahaja menarik perhatian pasangan diraja, tetapi juga penduduk tempatan dan pelancong yang berkumpul di sekitar KLIA untuk menyaksikan acara yang diadakan bersempena dengan istiadat keberangkatan balik baginda berdua ke Pahang hari ini.

Perarakan sejauh kira-kira 200m yang bermula dari persimpangan masuk Kompleks Bunga Raya menuju ke anjung kompleks berkenaan merupakan simbolik bagi menghidupkan semula zaman kegemilangan raja-raja Melayu, yang diinspirasikan daripada buku hikayat Sulalatus Sulatin atau Sejarah Melayu.

Dua ekor gajah, iaitu Myan Thon Pian dan Rambai, mengepalai perarakan itu yang turut disertai pemain genderang, hulubalang gagah perkasa, pembesar istana, kundang, biduanda, embuai, pembawa tombak dan inang istana.

Turut serta, pembawa sirih junjung, bunga emas, replika pohon beringin, payung kuning dan pembawa panji diraja diikuti rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.

Ini disusuli dengan kenderaan membawa Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta diakhiri dengan 16 ekor kuda daripada Skuadron Istiadat Berkuda Rejimen ke-21 Kor Armor Diraja (Istiadat).

Sebanyak 399 peserta antaranya daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta kumpulan kesenian dan kebudayaan beberapa negeri menyertai perarakan yang mengambil masa lebih 30 minit itu, sambil diiringi lagu nobat diraja menggunakan peralatan muzik tradisional Melayu seperti serunai, nafiri, gendang ibu, gendang anak dan gong. -SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button