Nasional

‘Selamat hari jadi, Dr. Noor Hisham’

NETIZEN atau pengguna media sosial membanjiri platform itu dengan ucapan selamat hari jadi kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, dan mendoakan beliau terus tabah dalam tanggungjawab memerangi COVID-19 di negara ini.

Dr Noor Hisham menyambut ulang tahun ke-58 hari ini.

Tinjauan ke halaman Facebooknya mendapati, warga maya daripada pelbagai latar belakang menyatakan sokongan kepada beliau, malah ada yang merindui kelibatnya berikutan sudah lama tidak tampil di kaca televisyen menyampaikan sidang media harian perkembangan pandemik berkenaan seperti sebelum ini.

“Happy Birthday Tan Sri! Wish you good health, happiness, and success in all your endeavors (Semoga diberi kesihatan, kebahagiaan, dan kejayaan dalam semua yang dilakukan),” tulis Megha Sivaram.

“Selamat Hari Lahir Dato’, semoga Allah sentiasa merahmati Dato dan pasukan Dato yang sentiasa berada di hadapan dalam ‘peperangan’ ini,” tulis Mohd Adzlan Omar.

“I masih mengingati jasa Tan Sri dalam sumbangan memerangi COVID-19… Tan Sri orang yang paling sesuai menjadi pelapor untuk perkembangan semasa COVID-19. Rasa kecewa apabila bertukar orang membuat tugasan ini,” katanya.

Zahirah Mohd Shariff mengucapkan: “Selamat Hari Lahir Tan Sri. Semoga dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk terus berkhidmat untuk negara. Aamiin.”

Sementara itu, ketika dihubungi BERNAMA, Dr Noor Hisham menyatakan harapan sempena hari jadinya supaya seluruh rakyat Malaysia terus bersatu untuk memerangi pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah dan terima kasih. Coming together will make us stronger to fight against COVID-19 (Kita akan lebih kuat memerangi COVID-19 jika kita bersama),” katanya.

Masih setia melaporkan perkembangan COVID-19 negara, kali terakhir Dr Noor Hisham mengadakan sidang media secara langsung ialah pada 4 Mac lalu.

Selepas itu, perkembangan pandemik berkenaan hanya dilapor melalui kenyataan media.

Selain itu, beliau juga mengemas kini perkembangan kes COVID-19 melalui laman sosial Twitter dan Facebook setiap hari.

Tahun lalu, pengamal media sempat memberikan kejutan kepada beliau dengan membawa kek hari jadinya sebaik sidang medianya di Dewan Serbaguna Aras 8, bangunan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya selesai. – BERNAMA

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button