Uncategorized

Kluster Sivagangga: 4 mukim di Kedah dikenakan PKPD

SEBANYAK 7,000 penduduk melibatkan empat mukim di Kedah akan menjalani ujian saringan Covid-19 menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD Secara Pentadbiran itu akan dijalankan bermula hari ini hingga 30 Ogos.

“Keputusan untuk PKPD Secara Pentadbiran itu diluluskan dalam mesyuarat selepas kerajaan negeri Kedah membuat permohonan itu bagi mengekang penularan Kluster Sivagangga.

“Lokasi tersebut ialah satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu), Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu), Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar harian Covid-19 di Parlimen, hari ini.

BACA> Kluster Sivagangga: Lima sekolah di Kedah diarah tutup

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran itu akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama.

“Sekolah, tadika, masjid dan rumah ibadat dalam kawasan berkenaan akan turut ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran.

“Untuk solat jemaah pula, hanya tiga orang sahaja yang dibenarkan melaksanakan ibadah,” jelasnya.

Ujarnya lagi, penduduk di dalam kawasan PKPD Secara Pentadbiran masih boleh keluar dan masuk terutamanya bagi mereka yang bekerja.

Tambahnya, mereka hanya perlu menjalani saringan biasa untuk keluar dan masuk namun bagi mereka yang tidak tinggal di dalam kawasan tersebut tidak dibenarkan masuk.

Kluster Sivagangga kini sudah menjangkiti 11 mangsa termasuk dua orang pelajar sekolah rendah.

Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah juga telah mengarahkan lima buah sekolah di dua daerah di negeri itu ditutup selama 28 hari mulai hari ini. Ianya melibatkan 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari tempoh pemerhatian.

BACA> Kluster Sivagangga bertambah, jangkiti ibu, isteri, anak, cucu, saudara

Selain itu, satu sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kubang Palas di daerah Padang Terap turut diarahkan untuk ditutup. -SM

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button