Nasional

Askar Wataniah platform tingkat patriotisme – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa Rejimen Askar Wataniah merupakan platform utama dalam meningkat semangat patriotisme dalam diri serta meningkatkan peluang kerjaya dan jati diri individu. Semua elemen ini penting dalam menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan.

 

Demikian titah baginda merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah di ‘Acara Perbarisan Penghargaan Anggota Sukarela Tahun 2021’ yang diadakan di Kem Bukit Keteri Perlis.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Panglima 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu dan Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Menurut Tuanku Raja Muda, objektif penubuhan Rejimen Askar Wataniah bagi membantu ganti dan mengimbangi kekuatan anggota tetap dalam pelbagai penugasan terutamanya semasa penularan Covid-19 telah menunjukkan hasil yang baik dan tidak dapat dinafikan lagi dengan pelaksanaan Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB) sejak Mac 2020.

‘Penglibatan para pegawai dan anggota lain-lain pangkat sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah dengan LKUB menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan. Mereka telah berjaya memberikan perkhidmatan dengan penuh berwibawa, berdisiplin dan beretika sebagai kumpulan pelaksana, perancang dan juga sokongan dalam Operasi PENAWAR di bawah perintah Markas 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia’.

Pada kesempatan yang sama baginda menitahkan ucapan tahniah kepada semua di atas komitmen memastikan rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat diputuskan berikutan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perlis bermula 19 Februari 2021 hingga 4 Mac 2021. Baginda juga berharap semoga azam dan komitmen dapat terus diperkukuhkan bagi sama-sama meneruskan kawalan kendiri dan pematuhan SOP supaya Perlis kembali berada di ‘Zon Hijau’.

Tambah Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 turut diutamakan kepada petugas barisan hadapan. Ini merupakan inisiatif dalam usaha mengekang penularan wabak yang mengancam nyawa ini. Semoga dengan langkah proaktif ini penularan pandemik akan berakhir dengan segera’.

(Visited 614 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button