Berita

Askar Wataniah perlu diberi lebih keistimewaan dan kemudahan – Raja Muda Perlis

Rawalpindi, Pakistan – Adalah wajar dipertimbangkan agar diperbanyakkan lagi keistimewaan serta kemudahan yang diberikan kepada para anggota pasukan Rejimen Askar Wataniah di negara ini dari semasa ke semasa.

Sesungguhnya kerahan tenaga Askar Wataniah selaku angkatan cabang Tentera Darat merupakan benteng pertahanan kedua negara yang akan diaturgerakkan sekiranya negara berada dalam situasi darurat.

Bagi menarik lebih ramai anak muda yang cukup memenuhi syarat minima ditetapkan bagi menyertai pasukan Askar Wataniah pada ketika ini dan juga di masa hadapan, maka sudah tiba masanya lebih banyak kajian dibuat bagi meneliti hak kemudahan dan keistimewaan yang diberikan kepada mereka supaya lebih baik atau sekurang-kurangnya setanding dengan pasukan sukarela atau simpanan lain bukan sahaja di dalam negara, malah dibuat perbandingan dengan apa yang diaplikasikan di negara-negara lain yang mempunyai pasukan yang serupa.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Kolej Semboyan Tentera (Military College of Signal) Pakistan yang terletak di Rawalpindi tidak jauh daripada ibunegaranya Islamabad pada khamis pagi.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohd Ibrahim dan Penasihat Pertahanan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Kolonel Abu Hashim Jamaludin itu disambut oleh Komandannya, Mejar Jeneral Muhammad Ali Khan dan Ketua Bahagian Koordinasi kolej berkenaan, Brigedier Jeneral Agha Ali yang turut menyampaikan taklimat khas kepada baginda.

Yang turut sama mengiring ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad merangkap Komandan PALAPES UniMAP dan Kapten Mohd Azam Muhammad Akhir dari Universiti Malaysia Pahang.

Tambah Tuanku Raja Muda Perlis yang juga Tuanku Canselor UniMAP dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah lagi, kajian semula mengenai mekanisma penguatkuasaan dan pematuhan terhadap pekeliling dan akta supaya seseorang anggota sukarela Askar Wataniah yang akan menjalani latihan ketenteraan itu diberi pelepasan khas oleh pihak majikan tanpa ada sebarang prejudis kepada anggota berkenaan juga wajar diperhalusi lagi oleh pihak-pihak yang berwajib.

Selain itu, semakan semula terhadap kadar elaun anggota Askar Wataniah juga perlu dilakukan lebih kerap agar setimpal dengan latihan serta keperluan yang dipertanggungjawabkan.

Tuanku Raja Muda Perlis berangkat tiba di Islamabad, ibunegara Pakistan pada lewat rabu malam bagi mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia’ yang padat dengan program diaturkan selama tiga hari bagi mendapatkan pendedahan, maklumat dan kefahaman mengenai penubuhan, struktur serta fungsi pelbagai organisasi pertahanan di negara berkenaan yang mempunyai kekuatan jumlah anggota tentera yang ke enam paling besar di dunia pada masa ini.

BACA: Majikan dapat manfaat sikap positif pegawai tauliah PALAPES – Raja Muda Perlis

(Visited 655 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button