Kemalangan

Aset TLDM Terlibat Kemalangan Ketika Raptai LIMA ’25 di Langkawi

SEBUAH bot pemintas milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bot pelancong dalam satu insiden yang mencemaskan berhampiran Jeti Teluk Baru, petang semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 4.34 petang itu dilaporkan berlaku ketika sesi latihan maritim sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA ‘25).

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, bot milik TLDM itu kelihatan bergerak tanpa kawalan sebelum melanggar bot pelancong yang sedang berlabuh dan akhirnya terbabas ke daratan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan bahawa bot tersebut dinaiki lima pegawai dan anggota pasukan keselamatan.

“Dua anggota telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, manakala tiada kecederaan dilaporkan melibatkan orang awam setakat ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis belum menerima laporan rasmi berhubung kejadian namun siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.

Insiden ini merupakan kejadian kedua melibatkan pasukan keselamatan dalam tempoh seminggu menjelang LIMA ‘25. Sebelum ini, sebuah pesawat pejuang jenis Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan terbabas ketika pendaratan susulan kerosakan sistem gear di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

Pihak berkuasa turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk memberikan kenyataan rasmi.

LIMA ‘25 dijadual berlangsung minggu ini dengan penyertaan pelbagai aset ketenteraan dari dalam dan luar negara, serta dijangka menarik ribuan pengunjung termasuk pelancong asing.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button