fbpx
Nasional
Trending

Aset-aset Utusan Melayu digilai Cina; taikun Melayu menyepi diri…

OLEH ZAINI HASSAN

SUDAH terlalu lama bangunan ibu pejabat Utusan berada di Jalan Sow Lin, Kuala Lumpur. Ibu pejabat lamanya terletak di Jalan 5 manakala ibu pejabat baharunya terletak di Jalan 6 (Jalan Utusan) — menghadap antara satu sama lain.

Bangunan lama bernombor 46M dan bangunan baharu bernombor 44. Utusan kini sudah mati.

Sejarahnya mulai dilupakan. Orang Melayu sendiri yang mematikannya. Politik dan pemikiran orang Melayu amat sukar diramal.

Jika mereka tak sukakan sesuatu mereka akan membakar kelambu, walaupun di atas tilam itu hanya ada seekor pijat. Jika ada seekor nyamuk mengganggu tidur mereka, kelambu itu juga akan tetap dibakar sehingga hangus.


Itulah sifat orang Melayu. Perumpamaan Melayu kuno juga berkata nasi sudah menjadi bubur — jika sudah jadi bubur, ia tidak boleh menjadi nasi semula.

Syarikat Utusan Melayu sudah mati. Aset-asetnya kini sedang dilupuskan.

Tahukan wahai orang Melayu bahawa tanah-tanah milik Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin itu adalah “satu-satunya tanah milik korporat milik orang Melayu“ di seluruh kawasan itu. Selepas ini nama Utusan hanyalah pada nama jalannya sahaja.

Kini tanah itu terletak dalam lingkaran Segitiga Emas baharu ibu kota Kuala Lumpur. Di hujung selatan terletak tapak mega Bandar Malaysia. Di hujung ke utara pula terletak hub kewangan negara — TRX, atau Tun Razak Exchange.

Di hujung jalan Utusan itu sedang dibina station besar MRT Chan Sow Lin.

ASET-aset Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin dan Bangi sedang dihurungi ramai. Ia adalah antara banyak lagi harta benda syarikat itu yang dalam proses pelupusan di seluruh negara. Tapi orang kaya Melayu amat malu untuk membelinya. — Gambar Bebasnews

Kini tanah-tanah itu akan “dilelongkan”. Aset-aset itu cukup bernilai tinggi. Orang-orang Cina sedang beratur panjang untuk membelinya. Mereka terlalu terliur dengan tanah-tanah itu.

Siapa boleh letak harga yang baik maka syarikat pelupus (liquidator) harta-harta Utusan itu akan menerimanya.

Wang itu akan digunakan untuk melunaskan hutang-hutang milik syarikat Utusan Melayu.

Seperti saya kata tadi orang Melayu tak peduli pun hal itu. Lantak kaulah Utusan.

Sejarah Utusan yang diasaskan di Singapura untuk membela nasib mundur orang-orang Melayu, tak siapa peduli lagi.

Utusan yang menyemarakkan api kebangkitan apabila agama Islam dihina, juga tiada siapa peduli lagi. Akhbar itu jugalah yang membela raja-raja Melayu semasa Malayan Union 1946.

Ia kemudian membantu membina Malaysia, setelah dinyahkan dari tanah kelahirannya di Republik Singapura oleh Lee Kwan Yew.

Dari situ Utusan mencatatkan pelbagai suka dan duka orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Kini ia sudah mati. Tiada siapa pun yang menangisinya. Orang lain bersorak-riang. Cita-cita mereka tercapai. Suara hati nurani orang Melayu itu sudah dimatikan.

Bangsa lain sanggup mempertahankan akhbar bahasa ibunda mereka, walaupun ada antaranya yang buta huruf.

Orang Melayu tak nampak itu semua. Apabila amarahnya menguasai diri, rumah sendiri pun sanggup dibakar. Empayar Melaka menjadi sejarah apabila orang Melayu sendiri sanggup berpaling tadah.

Biar berputih tulang, jangan berputih mata. Lebih baik mati daripada tidak dapat apa yang diidamkan.

Kini bukan sahaja Melaka hancur, Utusan Melayu pun mati.

Aset-asetnya kini mahu dijual. Difahamkan tiada Melayu yang mahu membelinya.

Bersusun kaum lain yang mahu membeli bangunan-bangunan itu; termasuklah tapak ibu pejabat Utusan lama berstatus tanah rezab Melayu.

Tanah itu adalah tanah kurniaan KDYMM Sultan Selangor semasa Utusan berpindah dari Singapura, sekitar 60an.

Tiada orang Melayu yang berminat dengan tanah-tanah itu. Utusan Melayu terlalu jijikkah di mata mereka?

Orang Cina berpusu-pusu menghantar borang tender untuk membelinya.

Malah difahamkan sebuah universiti dari China (Tanah Besar) berminat mahu membeli Jalan 5 dan Jalan 6 itu, sekaligus.

Saya hairan. Mana pergi taikun-taikun Melayu? Tak malukah anda semua? Apakah orang Melayu sudah tiada maruah?

Atau mereka tidak peduli? Di mana Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), yang asyik berkelahi berebut kuasa? Di mana majlis-majlis agama Islam negeri-negeri? Mana dia yayasan-yayasan milik Melayu yang kaya-raya?

Di mana Tan Sri Azman Hashim? Di mana Tan Sri Jojo? Di mana Tan Sri Syed Mokhtar — yang pernah menjadi antara pemegang saham individu terbesar dalam Utusan? Di mana Datuk Kamaruddin Meranun? AZRB? yang semuanya kaya-raya hasil kerajaan terdahulu.

Di mana Tan Sri Rozali, Tan Sri FD Mansor; mana dia Tan Sri-Tan Sri yang kaya-raya. Maaf jika saya menyebut nama-nama kalian semua. (Sekurang-kurangnya Tan Sri FD, mantan Pengarah Sumber Manusia Utusan Melayu sekitar 70an-80an, bersetuju mencuba kumpulkan rakan-rakan taikun Melayunya untuk membeli aset-aset itu.)

Di mana pula raja-raja dan sultan-sultan yang ada antaranya billionaire kaya-raya? Khazanah Utusan Melayu terlalu banyak, yang siang-malam memikirkan untuk mempertahankan institusi feudal itu. Ampun tuanku!

Tidak malukah kalian semua. Setidak-tidaknya ambil alihlah tanah-tanah itu daripada bertukar tangan kepada orang lain? Adakah kalian lebih minat membeli hartanah di Kensington daripada menyelamatkan harta institusi Melayu ini?

Mana maruah kita? Tanah kilang Utusan di Bangi seluas 16 ekar juga akan dijual murah-murah. Tiada seorang Melayu pun yang berminat. Jika ada pun ketuk harga yang tidak munasabah.

Benarkah kuasa beli orang Melayu, termasuk Tan Sri-Tan Sri itu sudah terlalu lemah?

Orang Cina pula berebut-rebut mahu meletakkan harga terbaik bagi menguasai harta-harta Utusan Melayu itu.

Tiba-tiba ingatan saya melayang mengingati hartanah bernilai tinggi milik Melayu di sekitar Bukit Bintang sehinggalah ke Sentul dibeli oleh taikun besar Cina, selepas kegawatan ekonomi 90an dulu.

Semasa menulis tulisan ini, tanpa disangka-sangka air mata saya mengalir. Bukan sedih, tapi terlalu kecewa.

Cukuplah. Saya berhenti di sini.

Renungilah petikan kata-kata pujangga Usman Awang (mantan wartawan Utusan Melayu) ini:

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi…

Artikel ini dipetik daripada BebasNews www.bebasnews.my

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button