Acara

Aset aeroangkasa perlu laksana pemantauan berterusan – Raja Muda Perlis

LANGKAWI: Aset-aset aeroangkasa negara perlu sentiasa melaksanakan pemantauan ruang udara secara berterusan, bukan sekadar di kawasan daratan dalam Kawasan Tanggungjawab (KTJ), tetapi turut merangkumi KTJ di Laut China Selatan (LCS), Selat Melaka serta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Seperti mana Domain Maritim, ruang udara dan aeroangkasa negara juga melibatkan dua wilayah operasi (theatres) yang memerlukan pemantauan berterusan sepanjang masa bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan melawat kapal perang milik Tentera Laut Indonesia (TNI-AL), KRI Bung Karno (369), yang berlabuh di Resort World Langkawi sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’25).

Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Komander KRI Bung Karno-369, Leftenan Kolonel Laut (P) Tomosa Uskarlind Larosa.

Turut mengiring ialah Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, bagi memenuhi amanah dan tanggungjawab mempertahankan ruang udara negara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam perancangan pembangunan Angkatan Masa Hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), memerlukan pelbagai aset strategik untuk memperkukuhkan keupayaan mereka.

Aset-aset ini termasuklah bagi tujuan Serangan Strategik, Pertahanan dan Rondaan Udara, Bantuan Udara Rapat (Close Air Support), Rondaan Udara Maritim, Peperangan Anti-Kapal Selam dan Peperangan Anti-Permukaan, Pengangkutan Udara Strategik dan Taktikal, Misi Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR) serta Operasi Ketenteraan Selain Perang (MOOTW).

Baginda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut menambah bahawa sebagaimana dalam Domain Maritim, LIMA merupakan platform terbaik untuk TUDM dan agensi-agensi aeroangkasa berkaitan dalam mengenal pasti aset-aset yang termoden, canggih dan berasaskan keupayaan (“capability-based”) bagi melaksanakan peranan serta tanggungjawab mereka.

“LIMA juga memberi peluang untuk mempamerkan aset-aset aeroangkasa negara yang bersifat pelbagai dimensi (multi-dimensional), boleh beroperasi secara bersama (interoperability), berorientasikan misi (mission-oriented) dan menepati keperluan tugas (fit-for-purpose)”, titah Tuanku Raja Muda lagi.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button