Nasional

ASEAN perlu bangunkan keupayaan pesawat pengangkut – Dr Mahathir

ASEAN perlu membangunkan keupayaan pesawat pengangkutnya sendiri untuk mengangkut produk mahal bernilai tinggi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata barangan bernilai tinggi biasanya diangkut menerusi pengangkutan udara dan industri ini dikuasai oleh syarikat multinasional terkemuka.

“Kini, banyak barangan tidak lagi diangkut menerusi pengangkutan laut. Kita perlu membangunkan keupayaan pesawat pengangkut yang dimiliki oleh negara-negara ASEAN kerana kita menghasilkan banyak mikrocip dan produk bernilai tinggi lain yang sesuai untuk ini,” katanya kepada media selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata semasa sesi pleno yang membincangkan tentang kesalinghubungan, para pemimpin juga membincangkan tentang pengangkutan kereta api.

“Laos adalah negara daratan tidak mempunyai laut, sebagai contoh, tidak mempunyai pelabuhan. Mereka membina pelabuhan daratan mereka dan menghubungkannya ke Vietnam ke laut,” katanya.

Perdana menteri berkata China sedang melengkapkan sistem hubungan kereta apinya, dan dari Laos, ia akan dihubungkan ke sistem kereta api Thailand yang seterusnya akan juga dihubungkan juga ke sistem kereta api Malaysia.

“Ini adalah cadangan lama kita yang kita perlu mempunyai hubungan kereta api sehingga ke Kunming. Dengan adanya hubungan itu, anda boleh melakukan perjalanan dari Johor Bahru ke Kunming menerusi kereta api. Pengangkutan barangan akan menjadi lebih mudah,” katanya. – BERNAMA

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button