Jenayah

Warga emas meninggal dunia ketika menunggu bas

Seorang warga emas ditemui tidak sedarkan diri dan menemui ajal di pondok bas ketika sedang menunggu bas untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan susulan di Kampung Serkam Darat, Jasin, Melaka pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Dol Samad Abu, 64, ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di pondok bas terbabit.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.45 pagi sebelum Ketua Balai Polis Merlimau bersama anggota ke lokasi kejadian.

“Tiada sebarang kesan kecederaan atau sebarang unsur jenayah dan siasatan awal polis percaya mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Penemuan bekas sedutan asma berdekatan mangsa serta beg yang dibawa terdapat banyak jenis ubat di dalamnya dan kita turut menemui kad rawatan di Klinik Kesihatan Serkam dan Hospital Melaka,” ujarnya di sini hari ini.

Mohd. Fadzli berkata, hasil soal siasat terhadap keluarga mangsa, si mati yang masih bujang turut mengidap pelbagai jenis penyakit lain termasuk lelah dan gout.

Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – SM

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button