Ekonomi

Rosman letak jawatan CEO Bank Rakyat

Bank Rakyat hari ini mengumumkan bahawa Datuk Rosman Mohamed akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat pada 31 Januari 2021.

Rosman yang akan mula bercuti pada 14 November 2020 sehingga tempoh perkhidmatan beliau tamat juga akan melepaskan semua jawatan lain yang disandang termasuk Ahli Lembaga Pengarah Rakyat Management Services Sdn Bhd, Rakyat Holdings Sdn Bhd dan Yayasan Bank Rakyat berkuat kuasa 14 November 2020.

Hasrat beliau telah dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah Bank berkenaan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Pada masa yang sama, pelan penggantian telah dirangka untuk pengisian jawatan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan diumumkan kelak.

Rosman memulakan khidmat beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 1 April 2019. Kemudiannya, beliau dilantik sebagai Pemangku Pengarah Urusan sejak 1 Ogos 2019 dan seterusnya menggalas jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak 1 Februari 2020.

Bagi memastikan kepimpinan Bank kekal berjalan lancar, Bank Rakyat juga mengumumkan pelantikan Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 14 November 2020.

Bank Rakyat turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rosman serta mendoakan yang terbaik untuk masa hadapan beliau.

(Visited 592 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button