Luar Negara

AS luluskan rawatan antibodi baharu untuk kucing artritis

PENTADBIRAN Makanan dan Dadah AS (FDA) pada Khamis lalu telah meluluskan rawatan pertamanya untuk mengawal kesakitan yang berkaitan dengan osteoarhritis pada kucing, yang juga merupakan ubat antibodi monoklonal pertama yang diluluskan untuk mana-mana spesis haiwan.

Protein yang ditanam di makmal ini telah menjadi tajuk utama semasa pandemik untuk mencegah orang yang berisiko tinggi terhadap Covid-19 daripada mendapat sakit teruk.

Namun begitu, tidak semua antibodi monoklonal menyasarkan patogen kerana ada sesetengah yang diluluskan untuk manusia yang menghidap kanser menjalankan fungsi lain, seperti menandakan sel kanser supaya sistem imun dapat mengenalinya dengan lebih baik dan melawannya.

Dalam pada itu, ubat suntikan baharu untuk kucing dipanggil Solensia berfungsi dengan melekatkan dirinya pada protein yang dipanggil faktor pertumbuhan saraf (NGF) yang terlibat dalam pengawalan kesakitan.

Apabila frunevetmab iaitu bahan aktif dalam Solensia, mengikat NGF, ia menghalang isyarat sakit daripada sampai ke bahagian otak.


“Kemajuan dalam perubatan veterinar moden telah memainkan peranan penting dalam memanjangkan hayat banyak haiwan, termasuk kucing.

“Tetapi dengan kehidupan yang lebih lama, maka datanglah penyakit kronik seperti osteoarthritis,” kata Pengarah Pusat Perubatan Veterinar FDA, Steven Solomon, dalam satu kenyataan.

Osteoarthritis berlaku apabila tulang rawan pelindung yang melindungi hujung tulang menjadi nipis menyebabkan tulang dalam sendi bergesel antara satu sama lain, mengakibatkan kesakitan dan mengurangkan pergerakan sendi, serta kadang-kadang boleh membawa kepada taji tulang.

Keadaan ini dianggap memberi kesan kepada 60 peratus kucing berumur enam tahun ke atas, dan 90 peratus kucing yang lebih tua daripada 12 tahun.

Oleh kerana kucing tidak pandai menyampaikan simptom dan rasa sakit mereka secara langsung, penyelidik telah bertanya kepada pemilik mereka tentang tahap kecacatan kucing mereka dalam melakukan aktiviti seperti melompat ke perabot, menggunakan kotak buangan air mereka atau ‘grooming’, dan membandingkan kebolehan mereka sebelum menghidap osteoarthritis.

Pemilik kemudian diminta menilai tindak balas kucing mereka selepas menerima rawatan.

Secara keseluruhan, kucing dalam kumpulan rawatan mempunyai skor penilaian yang lebih baik daripada mereka yang menerima plasebo semasa ujian klinikal secara rawak.

Kesan sampingan ubat yang disuntik ke bawah kulit sebulan sekali itu ialah muntah, cirit-birit, sakit di tempat suntikan, berkudis di kepala dan leher, dermatitis dan pruritus (gatal kulit).

Kesannya adalah ringan dan rawatan tidak perlu dihentikan.

Pembuat ubat itu, Zoetis, berkata, ia tidak boleh digunakan dalam pembiakan kucing atau kucing yang sedang mengandung atau menyusu dan juga tidak boleh diambil oleh manusia.

Zoetis enggan mengulas mengenai kosnya tetapi berkata ia akan diberi harga ‘yang munasabah’. – SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button