JenayahNasional

As Bul ditahan selepas muat naik kandungan hina Agong, pertikai lantikan PM

Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan terhadap satu hantaran di Facebook yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 33 tahun itu direman selama tiga hari ini bermula hari ini selepas ditahan semalam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.

“Satu laporan telah diterima berhubung kenyataan berkenaan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘As Bul’ dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya turut dirampas satu telefon bimbit jenama Vivo serta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.


Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menggunakan platform media sosial untuk membangkitkan kegusaran dan kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara terutama yang melibatkan isu 3R iaitu Raja (rulers), agama (religions) dan bangsa (races).

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. — BERNAMA

(Visited 163 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button