HiburanPolitik

Artis dan politik

ARTIS kalau masuk politik mesti teraniaya. Sebabnya artis adalah orang biasa yang jiwanya halus dan tulus serta tidak pandai bermuka-muka atau hipokrit.

Kalau sokong Barisan Nasional (BN) mereka luahkan. Kalau sokong Pakatan Harapan (PH) mereka dedahkan. Di Malaysia artis hanya sebatas penyokong parti politik dan mereka tidak pernah diberi peluang memegang jawatan penting dalam parti atau di dalam kerajaan.

Tapi bila parti yang disokong tumbang mereka akan kehilangan job, bayaran digantung dan digam daripada muncul di televisyen atau lagu daripada berkumandang di corong radio.

Orang politik walaupun terang-terang memakai baju biru, mereka ada baju warna lain sebagai simpanan. Mereka boleh bila-bila masa menukar baju meninggalkan penyokong mereka termasuklah artis tadi terkontang-kanting.

Ada rakan saya sekian lama mencari makan dengan baju biru, jutaan ringgit sudah disakau, tiba-tiba memakai baju roket dan alasannya tukar parti bukan tukar agama. Yang malang mereka yang menyokong dan percaya memberi peluang kepadanya.

Orang politik asalnya bukan penipu dan pemutar belit. Mereka juga orang biasa, tetapi setelah berkali-kali ditipu dan dimangsai, akhirnya mereka pun menjadi insan yang jijik itu. Jadi apabila datang muka suci yang mahu ditipu maka mereka akan mengasah bakat tipu mereka.

Skill mereka semakin meningkat semakin lama mereka berada di dalam arena politik dan jurus sepak terjang semakin dikuasai. Mereka tidak jauh berbeza daripada peliwat. Asalnya dilahirkan bukan kaki peliwat. Tetapi setelah kerap menjadi mangsa, mereka juga menjadi pemangsa.

Tetapi tidak semua ahli politik berjaya menjadi pemangsa. Jika mereka hanya spesis gnu dan bukan babun, harimau dan setidak-tidaknya musang memang tidak akan berjaya walaupun berusaha dengan gigih.

Di negara lain di dunia ini telah ramai artis menjadi wakil rakyat dan hingga ke jawatan menteri, tetapi tidak di Malaysia kerana di sini ramai spesis babun, harimau dan seangkatannya yang lahap memangsai spesis yang lunak seperti bebiri, lembu, ayam serta yang sekufu lagi.

Lebih malang lagi mangsa ini apabila pohon tempat bernaung tumbang mereka mati beramai-ramai, ketika pemimpin mereka bijak mencari teduhan lain secara senyap-senyap atau terang-terangan.

Jadi artis seperti Shahrul Shiro, Hattan dan Wardina Shafiya serta seangkatannya berpada-padalah menyokong parti politik di negara ini. Di negara ini mereka hanya menghukum jika putih maka langgar segala larangan yang ada anda menjadi kebal, jika hitam duduklah diam-diam kerana anda akan terus diinjak dan dibenam ke dalam lumpur.

(Visited 518 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button