Rencah Hidup

PKP 2.0: Boleh jogging, berbasikal dengan syarat

DUA aktiviti rekreasi iaitu jogging dan berbasikal sahaja dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilaksanakan. Kedua-dua aktiviti riadah itu dibenarkan dengan syarat yang ketat.

Aktiviti jogging dibenarkan terhad kepada dua orang sahaja pada satu-satu masa. Mereka perlu mematuhi penjarakan fizikal iaitu pada waktu statik jarak antara individu satu hingga tiga meter dan ketika dinamik tiga hingga lima meter. Aktiviti berjogging hanya boleh dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja.

Manakala aktiviti berbasikal pula tidak dibenarkan secara berkumpulan. AKtiviti tersebut boleh dijalankan secara berseorangan dengan jarak kayuhan tidak melebihi 10 kilometer dari tempat kediaman.

Orang ramai dibenarkan untuk melakukan kedua-dua riadah itu dari pukul 6.00 pagi hingga 8.00 malam atau tertakluk kepada arahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari semasa ke semasa.

Individu yang menjalankan kedua-dua riadah itu tidak perlu memakai pelitup muka ketika melakukan aktiviti. Walau bagaimanapun mereka perlu memakai pelitup sebelum dan selepas melakukan aktiviti terbabit.

Aktiviti kelas kecergasan seperti senamrobik, yoga dan sebagainya tidak dibenarkan sama sekali dilakukan di kawasan yang dikenakan PKP. Fasiliti sukan dan rekreasi juga tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak tersenarai di dalam senarai perkhidmatan perlu.

Turut tidak dibenarkan adalah aktiviti sukan dan rekreasi air termasuk di kolam renang. Pengusaha dan operator padang bola sepak komersial di kawasan PKP juga tidak dibenarkan untuk beroperasi.

PKP berkuat kuasa di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah bermula 13 Januari sehingga tarikh yang akan diumumkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.-SM

(Visited 27,481 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button