Nasional

Arja Lee capai impian miliki sarjana penuhi impian ibu bapa

Pelakon dan artis, Arja Lee akhirnya berjaya menggenggam ijazah sarjana dan menganggap kejayaannya itu sebagai hadiah buat kedua arwah ibu bapanya, Ramli Uteh dan Salmah Aziz yang sudah meninggal dunia.

Arja Lee antara penerima sarjana pada sesi pertama sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah yang disampaikan Canselor, Tuanku Zara.

Pemilik nama sebenar Azharudin Ramli, 39, ini berkata dia menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan ( FMSP) dengan tesis bertajuk “Mari Bermain Congkak: Suatu Aktiviti Didik Hibur Di Arja Art Academy”.

“Saya redha dengan ketentuan Tuhan kerana sepatutnya kedua arwah bersama saya ketika meraikan kejayaan, namun bersyukur kerana hari ini ditemani oleh ahli keluarga, “
Dia gembira pengorbanan selama dua tahun menyambung pengajian berbaloi walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara serta baru setahun sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Kejayaan saya memberi mesej yang jelas bahawa golongan selebiriti pun sebenarnya mampu berjaya dalam pendidikan dan boleh menjadi contoh dalam masyarakat,” katanya.
Arja Lee berkata kini dia bermastautin di Kota Bharu , Kelantan dan semasa belajar menetap di Kuala Lumpur dia terpaksa berulang alik ke UPSI kira-kira enam kali seminggu bagi menjayakan pengajian.

Arja Lee gembira menerima Sarjana Pengajian Persembahan daripada Tuanku Zara Salim di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Menurutnya semua perbelanjaan dan kos menyambung pengajian ditanggung sendiri serta tidak ditaja oleh mana-mana pihak.
Arja yang belum mendirikan rumah tangga berharap kejayaannya hari ini dapat memberi motivasi kepada rakan seperjuangan yang lain dalam dunia hiburan tanahair serta mahasiswa di universiti ini untuk menyambung pengajian.

“Saya gembira kerana ada yang menjadikan saya sebagai contoh dan berharap mampu menjadi ikutan dan dorongan kepada golongan muda atau rakan seperjuangan untuk menyambung pengajian di UPSI,” katanya lagi.
Arja berkata kejayaan yang dinikmati diharapkan menjadikan dia salah seorang penggiat seni yang berpendidikan dan memiliki modal insan hasil garapan ilmu sepanjang menyambung pengajian di universiti terbabit.

“Saya berterima kasih kepada UPSI, malah saya mencipta hashtag @arjaandhismasterjourney kerana melihat ia satu dorongan dan satu imbuhan untuk anak-anak muda supaya datang ke UPSI menyambung pengajian kerana UPSI memiliki pakar bidang dan kemudahan yang kondusif.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan tahniah atas kejayaan Arja Lee yang perlu dicontohi juga oleh mahasiswa UPSI yang sedang belajar.

“UPSI memiliki ramai mahasiswa yang terbukti kebolehan mereka bukan sahaja di dalam malah di luar negara,” katanya.

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button