Politik

“Kita bergaduh dengan DAP bukan kerana Cina” – Annuar

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan sejak puluhan tahun Melayu tidak menyokong DAP bukan kerana isu perkauman, tetapi isu ideologi.

Justeru itu beliau menempelak Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mencipta naratif palsu demi menghalalkan kerjasama Umno dengan DAP.

Annuar berkata naratif yang dicipta Zahid kononnya DAP ditolak Umno sebelum ini hanya kerana berbangsa Cina.

Sedangkan menurut Annuar, Umno menolak DAP bersandarkan ideologi politik perjuangan mereka iaitu Malaysian Malaysia.

“Kita (orang Melayu) tolak bukan kerana perkauman, kaum dan bangsa tapi kita tolak kerana ideologi DAP.
Saya pun pernah kata boleh kerjasama dengan DAP waktu zaman (pentadbiran) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun ada.

“…ada perkara kita boleh kerjasama dengan DAP, tapi mengangkat mereka jadi pemimpin, beri kuasa dan sebagainya dalam keadaan ideologinya, dasarnya tidak berubah Malaysian Malaysia tak berubah begitu juga dengan perlembagaannya tidak berubah dan menepati kata Lim Kit Siang bahawa DAP akan mengubah pendekatan tapi tidak akan mengubah ideologi maka itu masih DAP sekarang yang ada sekarang ini.

“Jadi (Zahid) jangan cuba mereka-reka alasan dan naratif yang cuba memesongkan orang Melayu dan umat Islam dalam negara ini tentang DAP,” bidas Annuar.

Beliau yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN) mengulas ucapan Zahid yang memainkan naratif kononnya DAP ditentang Umno sebelum ini hanya kerana ia parti mewakili kaum Cina.

Kata Zahid, jika orang Umno boleh menerima MCA, Gerakan dan MIC yang mewakili kaum Cina dan India sebagai komponen Barisan Nasional (BN) kenapa tidak terbuka menerima DAP.

“Kini hakikatnya DAP bukan hanya mewakili orang Cina, ada ahli Parlimen DAP orang Melayu,India ini realiti politik baru, kita terima sahabat kita dengan semangat kemalaysiaan yang tulen,” ujar Zahid dalam petikan video.

Mengulas lanjut, Annuar mempersoal Zahid yakni sejak bila penolakan kepada DAP soal orang Melayu dan soal orang Cina.

“Kalau soal orang Melayu ada dalam DAP sekarang Zainal Rampak dulu DAP, Ahmad Nor dulu DAP..naib presiden pula lagi. Kita orang Melayu semua tidak menerima DAP, sebahagian besar rakyat Malaysia tak terima DAP kerana ideologinya bukan soal Melayu, Cina.

“Jangan cuba mereka-reka alasan dan sebab menyembunyikan sebab sebenar dan penerimaan DAP ini dirancang oleh pemimpin tertentu dalam Umno dua tahun sebelum pilihan raya lagi.Jadi kita akan ceritakan perkara ini yang sebenarnya nanti, jika perlu kita terpaksa dedahkan apa sebenarnya berlaku,” tegasnya.

Jelas Annuar lagi, dua tahun lepas lagi sebelum pilihan raya dah dibuat perkiraan dan perhitungan jajaran baru untuk beri sokongan kepada DAP.

“Sedangkan ahli Umno, Majlis Kerja Tertingi (MKT) Umno tak diberitahu jangan sekarang baru cuba nak reka naratif menghalalkan tindakan kerana naratif itu bukanlah satu naratif yang betul DAP memang multiracial dari dulu,” katanya.

Beliau mengingatkan orang Melayu supaya tidak terperdaya dengan naratif palsu ini, kerana DAP hanya mengubah kaedah perjuangan, tetapi masih mengekalkan ideologi yang sama.

Kerjasama ini juga jelas Annuar akan merugikan Umno, sebagaimana dialami oleh Pas.

Jika Pas tidak sedar awal, kata Annuar, parti itu pastinya sudah lumpuh, dan dalam itu pun DAP sempat menarik pemimpin Pas untuk menubuhkan Amanah dengan ditaja sepenuhnya oleh DAP.

Annuar yakin Umno akan mengalami nasib yang lebih buruk daripada Pas jika mereka terus terleka dan tertipu dengan tipu daya DAP.

(Visited 372 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button