Nasional

Arab Saudi benar rakyat Malaysia tunai ibadah Umrah

UMAT Islam di Malaysia dibenarkan untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah selama 10 hari apabila Tanah Suci susulan keredaan pandemik di sana.

Sebelum ini kerajaan Arab Saudi mengambil tindakan menutup Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ekoran penularan wabak Koronavirus (Covid-19) di negara itu.

Susulan kebenaran untuk menunaikan umrah pada pasca pandemik, Arab Saudi turut menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Justeru, kerajaan Malaysia dilapor akan membantu rakyat negara ini bagi menunaikan ibadah Umrah di Tanah Suci.

“Malaysia amat menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi baru baru ini yang memberi kebenaran kepada Jemaah luar negara mengerjakan ibadah Umrah selama 10 hari.

“Di pihak Malaysia, Kerajaan menerusi Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama rapat dalam usaha memastikan umat Islam di Malaysia turut dapat mengerjakan Umrah di Tanah Suci.

“Kerajaan akan terus memantau situasi Covid-19 khususnya di Malaysia dan pada masa yang sama meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.”

Demikian kata satu kenyataan bersama daripada Menteri di JPM, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Arab Saudi sebelum ini mengambil langkah pencegahan dengan menghadkan pergerakan di Tanah Suci dan menutup Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Malah, ketika musim Haji pada Julai lalu, kerajaan negara itu hanya membenarkan 10,000 jemaah untuk menunaikan ibadah Haji terhad kepada mereka yang sudah berada di sana sahaja.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut memaklumkan kerajaan Malaysia akan lakukan yang terbaik bagi mematuhi arahan ditetapkan dan memastikan keselamatan jemaah.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya Jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak.

“Bagi Kerajaan, keselamatan dan kesihatan Jemaah umrah Malaysia merupakan keutamaan tertinggi.

“Kementerian Luar Negeri dan JPM (Hal Ehwal Agama) juga akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” tambahnya. – SM

(Visited 502 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button