Teknologi

Aplikasi ‘Jejak Johor’ kesan kontak 1 meter, cegah Covid-19

APLIKASI jejak kontak komuniti yang dikenali Jejak Johor yang dilancarkan kerajaan negeri baru-baru ini akan memudahkan pengesanan kontak dalam mencegah penularan wabak COVID-19.

Ia berupaya membantu mengesan kontak, sekali gus mampu menyekat serta mencegah penularan pandemik itu di Johor menggunakan gabungan teknologi pengecaman dan platform analisis data Iskandar Malaysia Urban Observatory COVID-19 Crisis atau IMUOCC.

Melancarkan aplikasi tersebut di Johor Bahru, Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pengumuman kerajaan Pusat yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei lalu dengan membenarkan lebih banyak sektor kerajaan dan swasta beroperasi menyebabkan lebih ramai yang mula bekerja atau berurusan di luar.

“Justeru, adalah penting untuk kita bukan sahaja terus memantau penularan COVID-19, malah perlu mengambil langkah lebih proaktif dengan membuat analisis bagi pengecaman awal penularan COVID-19 di kawasan atau kluster tertentu dalam masa terdekat ini.

“Pengecaman awal ini membolehkan pihak berkuasa yang berkaitan mengambil langkah-langkah awal untuk menyekat penularan COVID-19 dengan melakukan operasi sanitasi atau merancang pelan kawalan pergerakan di kawasan berkenaan.

“Jejak Johor sesuai bagi golongan yang melakukan banyak pergerakan atau perjalanan dan mempunyai banyak kontak dengan individu lain seperti pekerja perkhidmatan penghantaran atau e-hailing dan petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan, pertahanan awam, hospitaliti dan perkhidmatan penting yang lain,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada SUARA MERDEKA.

Aplikasi Jejak Johor menggunakan gelombang bluetooth dalam telefon pintar untuk mengenal pasti kontak antara para pengguna aplikasi ini dalam jarak satu (1) meter.

Ia akan membolehkan Jabatan Kesihatan Johor memperoleh rekod kontak pengguna dan segera memaklumkan kepada mereka sekiranya terdapat risiko jangkitan Covid-19.

Fungsi rekod kontak rapat automatik ini dapat diterapkan dalam pelbagai kegunaan semasa PKPB untuk memastikan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Bagi premis perniagaan dan bangunan pejabat, pematuhan SOP PKPB dapat dipenuhi dengan menggunakan fungsi rekod kontak rapat automatik aplikasi ini bagi menggantikan kaedah merekodkan data pelanggan dan pelawat secara manual menggunakan borang yang dicetak atau di talian.

Ini juga memastikan agar rekod kontak rapat dengan pelanggan dan pelawat adalah data yang sah dan boleh dihubungi dan bukannya disalah tulis atau sukar dibaca di dalam borang, jika diperlukan.

Pengguna aplikasi Jejak Johor akan hanya dikenali menerusi satu identiti atau ID unik. Hanya maklumat nombor telefon berdaftar pengguna disimpan dalam aplikasi ini supaya mudah dihubungi oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk penghantaran notifikasi yang berkaitan, jika perlu.

Inisiatif aplikasi Jejak Johor ini diperkukuhkan lagi dengan penggunaan platform IMUOCC. Hanya Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Jawantankuasa Khas Keselamatan Negeri Johor boleh menggunakan platform ini untuk menganalisis data pesakit positif, kontak rapat dan pesakit dalam siasatan COVID-19 untuk membolehkan kerajaan mengambil langkah segera menangani wabak tersebut.

Sistem itu juga akan menghasilkan analisis kaitan antara pesakit positif, kontak rapat dan pesakit dalam siasatan Covid-19 untuk mengenal pasti kluster jangkitan.

Dengan mengenal pasti hubung kait antara mereka, pihak berkuasa akan dapat menjangkakan kawasan yang berpotensi untuk menjadi sasaran penularan seterusnya, sekali gus boleh mengambil tindakan pencegahan awal yang sewajarnya.

Aplikasi Jejak Johor ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Program Pembangunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Aplikasi Jejak Johor buat masa ini sudah boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan bagi Apple Store pula boleh dimuat turun dalam masa terdekat. Sebarang pertanyaan mengenai aplikasi Jejak Johor boleh diajukan kepada [email protected]

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button