Ekonomi

Aplikasi Hive bantu pengusaha pusat cuci kenderaan, mudahkan urusan pengguna

PANDEMIK Covid-19 sememangnya memberi impak yang besar melibatkan peniaga termasuklah pengusaha pusat cuci kenderaan.

Disebabkan itu, dua individu, Amirol Isa Izani dan rakannya, Mohd Noor Hisham Hashim tampil dengan satu idea untuk mewujudkan aplikasi yang boleh mengumpulkan kesemua pusat cuci kenderaan seluruh negara.

Menurut Amirol yang juga pengasas kepada aplikasi Hive, setakat ini sebanyak 60 pusat cuci kenderaan bersetuju untuk bekerjasama menjadi rakan kongsi.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna akan dapat memilih pusat cuci kenderaan menerusi telefon pintar dan boleh membuat tempahan awal.

“Selain itu, segala promosi yang ditawarkan seperti basuhan percuma selepas beberapa kali cucian juga boleh digunakan di kesemua pusat cuci kenderaan di dalam aplikasi Hive,” katanya.

Jelasnya lagi, pelanggan tidak perlu risau untuk mencari atau mengetahui harga yang ditawarkan pusat cuci kenderaan kerana semuanya sudah berada di dalam aplikasi tersebut.

Ujarnya, pengusaha pusat cuci kenderaan juga tidak lagi perlu berharap kepada sasaran pelanggan di kawasan sekitar sahaja kerana capaian mereka sudah semakin luas menerusi aplikasi Hive.

Mengulas mengenai penerimaan aplikasi tersebut, Amirol berkata selepas sebulan beroperasi, sebanyak 2,000 orang telah memuat turun dan menggunakan aplikasi tersebut.

“Kita menyasarkan sebanyak 300 rakan kongsi (pengusaha pusat cuci kenderaan) akan bersama dengan aplikasi Hive menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Noor Hisham memberitahu, Hive kini turut memiliki gedung rangkaian e-dagang sendiri iaitu Hivestore di mana ia memudahkan penguna dan pengusaha untuk membeli barangan runcit secara terus di laman web.

Tambahnya, Hive juga bakal bekerjasama dengan sebuah institusi tempatan untuk memberi peluang kepada pelajar mempelajari tentang industri.

Kataya, pelajar juga dijamin mendapatkan kerja melalui pengusaha yang berdaftar dengan Hive.

“Kami juga sedang berkolaborasi dengan beberapa jenama tempatan terkenal bagi memudahkan pengguna untuk menggunakan aplikasi ini.

“Bagi menghargai serta memberi semangat kepada atlet paralimpik negara, Hive juga akan memberi cucian kereta percuma seumur hidup kepada semua pemenang pingat Sukan Paralimpik Tokyo yang akan diadakan pada Ogos ini,” katanya.

Mereka yang berminat menjadi pengguna aplikasi Hive, boleh melayari di laman web https://www.hiveapp.asia. -SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button