fbpx
KebakaranNasional

Api marak…bumbung meletup – pelajar MITIB

“Api marak…bumbung meletup.”

Demikian kata seorang pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Istana Bandar (MITIB), Banting, Fatima Zahra Aminudin, 17, apabila berhadapan dengan detik cemas tersebut.

Menurutnya, kejadian sedemikian yang pertama kali dilihatnya itu memusnahkan tiga bilik asrama pelajar perempuan di tingkat atas Blok A Ibn Kathir.

Keadaan api marak tersebut menyebabkan bumbung blok itu musnah dan serpihan atapnya berkecai jatuh ke bawah selepas runtuh dijilat api.

“Ketika itu, kami memang sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.


“Kebetulan ketika kejadian azan sedang berkumandang dan bersyukur kerana kami semua memang sudah berada di surau.

BACA > MB Selangor diminta prihatin nasib 30 pekerjaan kontrak MPSJ dipecat – Suara Merdeka

“Jadi, kami tidak tahu bagaimana kebakaran boleh terjadi kerana memang tak nampak tanda-tanda awal seperti litar pintas dan sebagainya,” ujarnya.

FATIMA ZAHRA

Menurut pelajar Tingkatan 5 Bukhari itu, kejadian hanya disedari kira-kira pukul 5.40 hingga 5.45 pagi.

Kebiasaannya pelajar sememangnya sudahpun meninggalkan bilik asrama masing-masing untuk menunaikan solat Subuh dan bersarapan.

“Waktu itu memang kami semua sudah bersiap dengan pakaian sekolah untuk solat dan sarapan kemudian pergi ke kelas.

“Jadi waktu itu juga memang tidak ada sesiapapun berada dalam bilik.

“Selepas menyedari kebakaran tersebut, kami semua berkumpul di dataran tidak jauh dari kuaters guru,” katanya.

BACA > Lelaki mati dibunuh muncul kembali selepas 5 tahun – Suara Merdeka

Sementara itu, pelajar, Nur Dalili Shahrul Anuar, 16, memaklumkan rakan-rakannya sekadar berputih mata melihat barangan peribadi musnah akibat dijilat api.

Lebih menyedihkan, mereka yang tinggal di asrama terbabit merupakan pelajar tingkatan satu, dua dan tiga yang baharu memulakan persekolahan.

Mereka dilaporkan kembali ke sekolah selepas cuti sambutan Aidiladha dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

NUR DALILI

“Mereka baharu balik semalam (Isnin) dan hari ini merupakan hari pertama sekolah.

“Tak sangka, selepas kembali ke asrama bersama barang yang baharu dibawa, dengan beg-beg sekali hangus terbakar.

BACA > 131 pelajar wanita selamat maahad tahfiz terbakar – Suara Merdeka

“Api marak, kami hanya mampu melihat, memang tidak ada satupun barangan peribadi yang dapat diselamatkan.

“Tetapi, ada juga pelajar yang menyidai pakaian di tingkat bawah. Itu sahaja yang tinggal,” ujarnya.

KEBAKARAN di tingkat tiga asrama perempuan MITIB dilaporkan berlaku awal pagi tadi.

Kejadian tersebut menyebabkan penginapan bagi enam pelajar pada setiap bilik hangus dijilat api.

Susulan kejadian tersebut, bomba dari balai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Banting dan Klang bergegas ke sekolah tersebut.

Bagaiamanapun, api berjaya dipadam kurang 10 minit selepas anggota bomba tiba.

BACA > 135 pelajar perempuan MITIB dibenar pulang — Suara Merdeka

Sementara itu, menurut Pengetuanya, Abdul Halim Saljadi, anggaran kerugian tidak dapat dipastikan dan siasatan terhadap punca kebakaran masih dilakukan. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button