AgamaRencah Hidup

Apakah syarat sah berkorban?

SYARAT  sah berkorban hendaklah melakukan dua perkara:

(a) Niat untuk taqarrub diri kepada Allah SWT. Waktu niat qurban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban.

(b) Memilih ternakan korban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biri-biri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.

Tempoh dan masa berkorban hendaklah dilakukan berdasarkan ketetapan yang berikut:

(a) Penyembelihan hendaklah dilakukan pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Korban tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya (10 Zulhijjah). Ia juga tidak sah dilakukan pada malam 14 Zulhijjah.


(b) Penyembelihan dilakukan apabila berlalu masa dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan khutbah. Sebagai contoh: Masa yang ditetapkan untuk solat sunat Hari Raya pada pukul 8.30 pagi dan selesai pada pukul 9.30 pagi. Maka waktu berkorban bermula pada pukul 9.30 pagi.

(c) Penyembelihan yang dilakukan selepas tempoh tersebut sama ada imam menunaikan solat atau tidak, sama ada orang berkorban menunaikan solat atau tidak, sama ada imam menyembelih haiwan korban atau tidak, hukumnya adalah sah.

(d) Waktu penyembelihan korban berterusan siang dan malam (tetapi makruh dilakukan pada waktu malam) sehingga Hari Tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah) sebelum terbenamnya matahari. Bagi penyembelihan korban yang dilakukan sebelum terbit fajar maka hukumnya adalah tidak sah

(e) Penyembelihan korban yang dilakukan selepas terbit matahari dan sebelum waktu solat sunat Hari Raya Aidiladha adalah tidak mendapat pahala sunat dan tidak dikira sebagai ibadah.

Untuk memenuhi syarat-syarat sah sesuatu ibadah korban, perkara-perkara berikut disyaratkan ke atas haiwan ternakan berkenaan iaitu:

(a) Ibadah korban tidak sah kecuali dengan haiwan ternakan sahaja iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina, yang menjadi baka ataupun dikasi. Dengan itu, tidak sah berkorban selain dengan haiwan ternakan seperti kerbau liar, kijang, rusa, pelanduk dan seumpamanya.

(b) Haiwan ternakan itu hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.

(c) Haiwan ternakan itu tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak atau kecacatan yang lain sepertinya.

(d) Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur iaitu:

unta : berumur lima tahun masuk tahun keenam

lembu/kerbau : berumur dua tahun masuk tahun ketiga

kambing : berumur dua tahun masuk tahun ketiga

biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua ataupun telah bersalin gigi hadapan

Afdal bagi orang yang melakukan korban menyembelih sendiri korbannya. Walau bagaimanapun, dia boleh mewakilkan kepada orang lain atau syarikat atau persatuan yang bersetuju untuk menguruskan ibadah korban dan sunat baginya sama-sama hadir menyaksikannya dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

(a) Penyembelih korban hendaklah seorang muslim, sama ada lelaki atau perempuan. Namun yang afdal menyembelih korban adalah orang lelaki dan sunat orang perempuan mewakilkan kepada orang lelaki.

(b) Seorang yang telah mumayyiz dan berakal

(c) Mampu melakukannya (pandai menyembelih) dan dilakukan tanpa ada paksaan

(d) Sembelihan makruh jika mewakilkan korban itu untuk disembelih oleh ahli kitab atau kepada kanak-kanak dan perempuan haid

(e) Jika korban itu disembelih oleh orang kafir yang diwakilkan oleh tuan korban maka korban itu tidak sah.

Syarat sah sembelihan adalah dengan memutuskan:

(a) dua urat pembuluh darah iaitu karotid dan jugular (wadajain)

(b) urat mari’ (saluran makanan)

(c) halqum (saluran pernafasan).

Alat menyembelih hendaklah tajam, bukan menggunakan alat yang tumpul, tulang dan gigi haiwan. – SM

(Visited 90 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button