Politik

Apakah rakyat sudah bersedia untuk rujuk dengan BN?

Perhimpunan sambutan ulang tahun Barisan Nasional (BN) semalam memang telah dijangka akan penuh dengan desakan supaya diadakan pilihan raya segera.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mendedahkan bahawa jika plihan raya diadakan pada 2017 kemungkinan BN menang, namun apabila ditangguh ke 2018, situasinya telah berubah.

Bagi Tan Sri Annuar Musa BN diingatkan supaya tidak tersilap langkah sekali lagi kerana ketika disangka sedia, rupa-rupanya belum bersedia. Begitu juga dana dikatakan mencukupi, tetapi kering separuh jalan.

Akhirnya kawasan yang disangka putih, menjadi legam dan BN menanggung akibat.

Namun melihat apa yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa BN perlu kembalikan kegemilangan negara bangsa itu adalah ukuran paling penting.

Ketika negara masih bergelut dengan pelbagai isu ekonomi pasca pandemik Covid-19, hanya akan menimbulkan kegawatan ekonomi dan politik yang menyebabkan keresahan berganda dalam kalangan rakyat.

Jadi selesaikanlah terlebih dahulu isu-isu rakyat yang masih bergelut menghadapi hidup yang tidak menentu.

Lagipun penggal pemerintahan akan berakhir tahun hadapan sahaja, pemimpin BN khususnya UMNO tidak perlu terlalu rakus dan gelojoh, kerana rakyat sentiasa memerhati gelagat mereka.

Rakyat memang majoriti mendambakan pemerintahan yang stabil sebagaimana negara pernah kecapi ketika BN memerintah, tetapi mereka juga membandingkan iltizam pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk membawa perubahan ketika sempat memerintah 22 bulan.

Pemimpin UMNO kini dilihat kembali kepada sikap lama walaupun pada masa ini mereka hanya berkongsi kuasa untuk memerintah.

Inilah yang ditakuti dan dibimbangi rakyat. Mereka hanya prihatin dengan rakyat ketika tidak berkuasa dan apabila kuasa itu kembali, mereka mabuk bahkan lebih teruk daripada situasi sebelumnya.

Bahkan jumlah mereka yang mabuk kuasa semakin bertambah di dalam parti berkenaan, semuanya semata-mata mahu mengejar kekayaan untuk diri sendiri dan anak pinak masing-masing, sedangkan begitu ramai rakyat yang terlantar.

Mereka lebih gemar menyusun langkah untuk kekal berkuasa dan membolot kekayaan negara. Anak watan pula dibiarkan begitu sahaja dan jika bersuara dianggap menentang tidak menyokong aspirasi kononnya untuk rakyat. Sedangkan terang-terangan hanya untuk mengenyangkan tembolok masing-masing.

Rakyat dirompak di siang hari setiap hari dan orang kaya segera yang diperoleh kerana kuasa politik sentiasa panas dan mahu menunjukkan kekayaan mereka.

Ketika bapanya cuba berlagak zuhud, anak-anak pula mempamerkan sikap sebaliknya. Ada juga isteri muda yang terlajak menunjukkan kemewahan di media sosial sehingga menimbulkan kebencian rakyat.

Persoalannya mengapa perkara ini berlaku kepada pemimpin BN dan UMNO sahaja? Mudah saja kerana rakyat sentiasa meneropong mereka dan pada masa yang sama tuhan mahu mendedahkan siapa sebenarnya mereka dengan tidak lagi menutup aib mereka.

Jadi jika ditanya apakah rakyat bersedia untuk menerima kembali BN, rasanya rata-rata belum pada masa ini.

 

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button