Politik

Gabungan Parti Sarawak masih teguh – Nancy

AHLI Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri menggambarkan semua ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat rapat dan memberi sokongan padu antara satu sama lain.

“Tidak ada masalah…kerajaan GPS teguh (diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg), “ kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ketika ditanya Suara Merdeka hari ini mengenai ura-ura 23 wakil rakyat PBB akan melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut sumber kepada Suara Merdeka lima hari lepas, terdapat satu pertemuan sulit antara beberapa pemimpin dan wakil rakyat daripada PBB dan kepimpinan Bersatu Sarawak untuk menyertai Bersatu.

Dikhabarkan seramai 13 ADUN dan enam Ahli Parlimen yang diketuai seorang pemimpin kanan parti PBB dijangka melompat ke parti pimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Bersatu Sarawak kini diketuai Ketua Bahagian Bersatu Santubong, Jaziri Alkaf Ahmad Suffian, 41, yang juga seorang arkitek.

PBB adalah parti tulang belakang GPS, sebuah perikatan politik baharu ditubuhkan kepemimpinan Abang Johari sejurus bertindak keluar dari Barisan Nasional (BN) yang mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei 2018.

Keseluruhannya, PBB menguasai 13 dari 19 kerusi Parlimen yang dimenangi pada pilihan raya itu diikuti Parti Rakyat Sarawak (PRS) – 3 kerusi; Parti Demokratik Progresif (PDP) – 2 kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) – 1 kerusi.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pula, GPS menguasai 72 kerusi, dengan 45 daripadanya milik PBB. – SM

(Visited 324 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button