Nasional

MYGO Sentuhan Ramadan bentuk generasi belia progresif melalui kesukarelawan

PETALING JAYA: Malaysian Youth Generation Organisation (MYGO) telah menjalankan satu inisiatif merealisasikan hasrat kerajaan untuk membentuk Malaysia yang lebih sejahtera, makmur dan bersatu melalui program Sentuhan Ramadan: Mencipta Kenangan bersama masyarakat Kampung Orang Asli Hulu Kuang, Selangor.

Inisiatif ini bukan sahaja membantu meningkatkan pembangunan belia dan pembudayaan sukan kepada para sukarelawan, malah dapat memberi pendedahan kepada mereka tentang  Kemasyarakatan.

Program ini dijalankan untuk menyantuni masyarakat Kampung Orang Asli Hulu Kuang serta memberi keperluan asas kepada golongan yang berpendapatan rendah, ibu tunggal dan warga emas.

Ia mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Koperasi Siswa UiTM Selangor Berhad (KOSISWA), Sekretariat Mahasiswa Kolej Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam (SMFPKM) dan Society of Pharmacy Students (SOPHYS) yang terdiri daripada kalangan belia.

Menurut Timbalan Pengerusi Pertubuhan Amal, Muhammad Asraf Mohd Ali, pemerkasaan anak muda dalam aktiviti kesukarelawanan perlu diketengahkan di peringkat kebangsaan sejajar dengan visi dan misi Kementerian Belia dan Sukan.

“Tenaga belia perlu di gunakan sebaik mungkin dalam memberi manfaat kepada masyarakat agar dapat membentuk belia yang progresif dan holistik” kata beliau selepas merasmikan majlis penutup Sentuhan Ramadan: Mencipta Kenangan.

Tambahan lagi, Kempen Infaq Ramadan @ Kampung orang Asli Hulu Kuang juga telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dan berjaya mengumpul sejumlah RM3000 ringgit dalam masa seminggu sejurus tabung infaq dilancarkan.

Hasil sumbangan ini telah digunakan untuk membeli keperluan asas serta pembelian bahan-bahan memasak bubur lambuk yang telah diedarkan kepada penduduk Kampung Orang Asli tersebut.

Selain itu, MYGO dengan kerjasama bersama pihak SOPHYS juga telah menyediakan kiosk pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk Orang Asli di Hulu Kuang, Selangor.

Timbalan Presiden MYGO, Aidil Tasnim berkata, program ini adalah sebahagian daripada inisiatif mengumpulkan dan memberi peluang kepada sukarelawan belia dalam berkongsi suasana Ramadan bersama masyarakat orang asli, seterusnya membentuk jati diri belia kearah yang lebih progresif.

Lebih 40 sukarelawan telah terlibat dalam berganding bahu menjayakan program ini dengan pelbagai aktiviti seperti aktiviti penyediaan bubur lambuk, aktiviti gotong-royong, pemberian duit raya dan aktiviti bersama kanak-kanak masyarakat Kampung Orang Asli Hulu Kuang.

“Bila kita hendak menderma, selalunya kita akan terfikir kepada fakir miskin ataupun golongan mualaf. Jarang sekali kita akan teringat kepada golongan orang asli. Oleh itu, kami rasa program ini adalah satu langkah yang terbaik untuk membawa fokus kepada orang-orang asli agar masyarakat juga akan dapat memberi bantuan kepada mereka,” kata Nur Eleesha Kamal Azlan selaku Ahli Lembaga Koperasi Siswa (KOSISWA) UiTM Selangor. – SM

(Visited 18 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button