Nasionalpilihan

Operator kilang maut motosikal langgar lembu

Malang tidak berbau buat seorang penunggang motosikal apabila maut selepas merempuh seekor lembu yang sedang melintas dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Kandang di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu menyebabkan, operator kilang, Muhammad Hafizudin Rosli, 27, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dua lagi mangsa iaitu seorang wanita berusia 26 tahun yang memandu kenderaan Honda HRV dan seorang lelaki memandu Honda Stream
berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaaan.

Menurutnya, kesemua mangsa terbabit dalam perjalanan dari arah yang sama iaitu dari Semabok menghala ke Tiang Dua.

Beliau berkata, pemandu wanita merempuh dua ekor lembu yang sedang melintas jalan sebelum pemandu Honda Stream tidak sempat brek lalu melanggar belakang Honda HRV berkenaan.

“Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang Muhammad Hafizudin terlanggar seekor lembu yang sudah terbaring di jalan menyebabkan dia tercampak di atas pembahagi jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat
kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, kedua-dua ekor lembu berkenaan turut mati di tempat kejadian.

Katanya, siasatan pegawai penyiasat mendapati keadaan permukaan jalan lokasi nahas sedikit basah dan gelap berlampu.

“Setakat ini tiada saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut berhubung kejadian itu dan siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button