fbpx
Nasional

Apa nasib 650,000 pekebun kecil apabila menteri tak faham masalah mereka

NASIB kira-kira 650,000 pekebun kecil di seluruh negara makin suram apabila bantuan tanam semula dihentikan dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok pula tidak faham isu yang menimpa golongan itu masa kini.

Ahli Palimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada jawapan Menteri di Dewan Rakyat seolah-olah memberi gambaran bantuan itu baru saja diperkenalkan.

Pontianmenimbulkan pertanyaan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 oleh Menteri Industri Utama, Teresa di Dewan Rakyat.

Malah katanya, tindakan kerajaan PH menukar bantuan kepada pinjaman sangat membebankan golongan pekebun kecil.

Menurut beliau bantuan geran tanam semula telah lama dilaksanakan namun menteri mengatakan seolah-olah bahawa ia baru sahaja diperkenalkan.

“YB Teresa hari ini memberikan jawapan yang saya amat tidak puas hati seolah-olah dia menggambarkan bahawa geran bantuan tanam semula ini baru sahaja dibuat sedangkan sebenarnya seingat saya… sejak saya kecil lagi.

“Sebab keluarga saya menanam semula getah ke sawit semuanya dapat bantuan geran tanam semula. Bantuan tanam semula adalah satu perkara yang amat membantu pekebun kecil getah dan sawit.

“Begitu juga kalau nak tanam semula daripada sawit ke getah atau sebaliknya, ataupun getah ke getah, sawit ke sawit semuanya itu diuruskan oleh Malaysia Palm Oil Board (MPOB),” katanya seperti yang dipetik daripada UMNO-Online.

“Kelihatan menteri ini tidak faham pun perkara yang berlaku pada saat dan ketika ini. Satu perkara lagi saya tidak puas hati kerana beliau tidak memberikan cadangan yang konkrit untuk meningkatkan harga komoditi termasuk lada hitam.

“Pada 2 April 2018, lada hitam ini satu tan RM11,763 satu tan… ini ketika zaman BN tetapi apabila zaman mereka ini angka data pada 1 Oktober 2019, turun kepada RM7,004 satu tan.

“Bererti lebih RM4,000 turun satu tan harga lada hitam. Mereka kata Pontian mana ada lada hitam… saya nak maklumkan ada beberapa pekebun lada hitam dan saya pun pernah menemui mereka dan pergi ke kebun mereka di Pontian,” katanya seperti yang dipetik dari UMMO Online.

Katanya, masalah tersebut akan memberikan kesan kepada pekebun lada hitam seluruh negara khususnya di Sarawak.

“Ramai ahli parlimen Sarawak (GPS) juga menimbulkan perkara ini tetapi menteri tidak memberikan jawapan yang konkrit bagaimana mahu menaikkan semula harga lada hitam ini.

“Ada puluhan ribu pekebun kecil lada hitam di seluruh Malaysia terutama Sarawak merasa amat tidak puas hati.

“Kelapa sawit tidak puas hati, getah tidak puas hati, lada hitam tidak puas hati dan pada ketika yang sama kementerian ini menerima peruntukan yang sedikit. Jadi saya tanya adakah peruntukan ini cukup,” ujarnya.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button