fbpx
Nasional

Apa golongan petani dapat dari Belanjawan 2021?

ADA tujuh inisiatif akan dilaksankan kerajaan bernilai RM410 juta bagi memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan pada tahun depan,

Ini termasuk peruntukan RM30 juta untuk pelanjutan Program Ladang Komuniti bagi masyarakat separa bandar dan luar bandar, yang membabitkan penyediaan peralatan seperti kit fertigasi dan peralatan tanaman sehingga RM500 untuk setiap individu atau RM50,000 bagi setiap komuniti.

Satu lagi inisiatif ialah pelaksanaan Projek Pertanian Organik sebagai projek kemasyarakatan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta dan ini dijangka memberi manfaat kepada 1,000 masyarakat.

Juga ada pembiayaan dua program yang disediakan Agrobank merangkumi sejumlah RM150 juta di bawah Program Pemodenan Vesel serta Program Mekanisasi dan pembiayaan RM60 juta untuk Program Pemodenan Rantaian Nilai Makanan Agro.

Kedua-dua program ini adalah pada kadar 3.5 peratus untuk tempoh 10 tahun.


Program pemodenan kapal nelayan menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta kepada nelayan untuk menaik taraf peralatan, jaring dan bot manakala program lain menyediakan pembiayaan sehingga RM1 juta kepada usahawan tani mendapatkan peralatan dan teknologi berdasarkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Kerajaan juga akan melaksanakan projek pertanian berimpak dan bernilai tinggi dengan peruntukan RM100 juta melalui kerjasama dengan kerajaan negeri seperti penternakan nanas di Johor dan udang air tawar di Negeri Sembilan.

Ia juga akan melaksanakan Program Pembangunan Akuakultur dengan peruntukan sebanyak RM10 juta melalui geran padanan sehingga RM20,000 untuk usahawan mikro membeli peralatan bagi membangunkan ternakan akuakultur bernilai tinggi.

Pada 2019, sektor pertanian menyumbang 7.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  Sektor pertanian diunjurkan berkembang 4.7 peratus pada tahun depan, disokong terutamanya oleh pengeluaran minyak sawit dan getah yang lebih tinggi.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button