Politik

Anwar…sesekali tolehlah sejarah

KOMENTAR

DALAM politik alamnya terus berputar. Isu sentiasa timbul tenggelam mengikut keadaan dan kerenah manusia.

Datuk Onn Jaafar, pengasas UMNO agak masam hubungannya dengan Tunku Abdul Rahman apabila pimpinan UMNO berpindah ke tangan Tunku pada 1951.

Ini walaupun isunya hanya bersandar kepada satu pihak yang mahukan UMNO dibuka pintunya kepada rakyat bukan Melayu manakala pihak yang satu lagi mahukan keahlian UMNO tetap untuk Melayu sahaja.

Haji Fuad merajuk apabila gagal mendapatkan sokongan untuk menjadi pemimpin UMNO menggantikan Tunku. Beliau lantas berusaha mewujudkan Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pas).

Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor yang secara popularnya dianggap sebagai panglima Pemuda dalam tahun-tahun 70-an akhirnya bertembung dengan pimpinan Tun Abdul Razak dan Datuk Hussein Onn.

Harun dicurigai mahu mencabar Presiden UMNO lantaran popularitinya memuncak ketika itu. Apabila Harun disabitkan hukuman penjara atas tuduhan rasuah susulan kes derma politik Hong Kong Shanghai Bank, Datuk Suhaimi Kamaruddin, anak buah beliau, lantas mengutamakan pilihan politiknya sendiri – tanpa mengira hubungan keluarga.

Lantaran itu, apabila Anwar Ibrahim bertembung dengan Suhaimi pada 1982 untuk merebut pimpinan Pemuda, Harun secara jelas tidak menyokong Suhaimi. Sebaliknya beliau membantu Anwar yang akhirnya menang 10 undi untuk menduduki kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Dalam satu lagi pertembungan, Sulaiman Palestin sanggup menentang Hussein Onn dalam keghairahan merebut jawatan presiden parti sedangkan Sulaiman adalah Ketua Penerangan UMNO, jawatan yang diberikan oleh Hussein. Tidak kisahlah siapa orang yang menjadi Wak Wira Karma di belakang tabir.

Di Sarawak, rentapan berlaku antara Tun Abdul Rahman Yaakub dengan anak buahnya, Datuk Patinggi Taib Mahmud. Tengku Razaleigh Hamzah yang persahabatannya dengan Dr. Mahathir bertali arus berpuluh tahun akhirnya bertembung politik pada 1987, apabila mereka berdua terpaksa menawarkan diri untuk memegang pimpinan UMNO.

Perlawanan raksasa itu akhirnya memberi kemenangan 43 undi kepada Dr. Mahathir. UMNO selepas itu terbelah dua melahirkan Team A dan Team B, sekali gus memunculkan parti Semangat 46 (S46). S46 yang menggelarkan puak yang diwakilinya sebagai UMNO asal mengakibatkan UMNO diharamkan oleh Mahkamah Tinggi pada 1989 melalui penghakiman Tan Sri Harun Hashim.

Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh bagaimanapun bermesra kembali September 1996 apabila S46 dibubarkan dengan tercapainya proses damai dan bersatu. Kedua-dua pihak itu bertembung politik dalam dua pilihan raya (1990 dan 1995).

Pada 2 September 1998, Anwar yang ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh Dr. Mahathir selama 16 tahun, terpaksa disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO susulan langkah-langkah serongnya yang mengakibatkan pendakwaan kesalahan meliwat dikenakan ke atas dirinya di bawah Seksyen 277B Kanun Keseksaan.

Dalam sejarah UMNO, tiada hubungan akrab yang lebih nyata antara Perdana Menteri dan timbalannya daripada hubungan antara Dr. Mahathir dan Anwar. Mula-mula dari lawan jadi kawan, kemudian dari kawan bertukar menjadi lawan.

Pada 2002, Dr. Mahathir memilih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bukannya Najib seperti diramalkan, untuk menggantikannya selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Tetapi beliau juga orang sama mendesak Abdullah supaya berundur beberapa tahun kemudian. Dan kembali berpihak kepada Najib.

Namun, bagaikan `sumpahan’, dalam politik apa pun boleh berlaku. Najib sebaliknya kini musuh ketat beliau. Najib hanyut bersama Barisan Nasional yang ditumbangkan Pakatan Harapan dipimpin Dr Mahathir pada 9 Mei 2018.

Semua ini, selain sejarah juga memberi pengajaran yang jelas dan grafik, sekurang-kurangnya kepada mereka terutama anak-anak muda Malaysia – yang mahu mempelajari sesuatu daripada sifat-sifat sinis politik.

Politik yang baik memang diakui mampu membina bangsa, agama dan negara.

Tetapi jika salah bawa, politik boleh memusnahkan `positive human values’ atau sifat positif manusia itu sendiri.

Apabila kawan bertukar sifat daripaa yang dijangkakan, hanya senyum kambing sahajalah `apa nak buat’.

Bak kata orang kampung “sudah terlangsung beragih”. – SM

(Visited 399 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button