Berita

Anwar vs Yusoff, Perbicaraan Jalan Terus 16 Jun

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon penangguhan perbicaraan kes saman sivil yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berkaitan dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku pada tahun 2018.

Permohonan itu difailkan peguam Anwar, Datuk Seri Rajasegaran Krishnan, malam sebelum prosiding pengurusan kes yang dijadualkan berlangsung hari ini. Pengurusan kes tersebut bertujuan untuk menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung isu imuniti jawatan Perdana Menteri dalam kes tersebut. Hakim Roz Mawar Rozain menyatakan bahawa permohonan itu tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, selain tiada isu perlembagaan yang nyata untuk dirujuk.

Susulan keputusan itu, mahkamah mengarahkan perbicaraan diteruskan pada 16 Jun ini dan Anwar turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM20,000 kepada pihak plaintif.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa permohonan rujukan tersebut dibuat bukan untuk melengahkan kes, sebaliknya bagi mempertahankan prinsip tadbir urus dan sistem perlembagaan negara. Beliau turut menyifatkan saman tersebut berpotensi menjejaskan institusi awam dan kestabilan pentadbiran sekiranya tidak ditangani secara telus.

Muhammed Yusoff Rawther, yang sebelum ini pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik kepada Anwar, memfailkan saman berkenaan berdasarkan dakwaan insiden yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button