Politik
Trending

Anwar umum, keahlian PKR bertambah 8,555 orang

KEAHLIAN Parti PKR atau Parti Keadilan Rakyat dilaporkan bertambah seramai 8,555 orang bagi tempoh Ogos hingga Oktober tahun ini.

Pertambahan tersebut dilapor menjadikan jumlah keseluruhan ahli parti berkenaan adalah sebanyak 1,015,691 orang.

“Sebanyak 8,555 orang anggota baru telah diluluskan bagi tempoh 19 Ogos sehingga 16 Oktober 2020. Ini menjadikan jumlah keseluruhan anggota KEADILAN sebanyak 1,015,691 setakat ini.”

Demikian kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ciapan dalam Twitternya hari ini.

Beliau berkata demikian memaklumkan sedang bersama pemimpin PKR dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan secara dalam talian.

“Bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Mesyuarat berbincang urusan perjalanan dan pengurusan parti,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang itu pernah memaklumkan mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen untuk menggantikan Tan Sri Muhyddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Pada September lepas, dalam satu sidang akhbar khas beliau memaklumkan berjaya mendapat majoriti yang kukuh, stabil dan meyakinkan bagi membentuk kerajaan baharu.

Susulan itu, beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mutafa Billah Shah bagi mempersembahkan sokongan.

Kemudian menerusi satu sidang akhbar pada hari sama, beliau dengan yakin menyatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin jatuh kerana kehilangan sokongan.

Bagaimanapun, Istana Negara yang mengeluarkan kenyataan pada hari sama mengesahkan pertemuan Agong dengan Anwar namun menafikan terdapat senarai nama diberikan Ahli Parlimen Port Dickson itu kepada Baginda.

Susulan itu, hasrat beliau untuk menjadi Perdana Menteri terus tertangguh ekoran hanya menyatakan jumlah sokongan kepada As Sultan Abdullah dan bukannya akuan bersumpah seperti dimaklumkan dalam sidang akhbar.

Namun, hasrat lebih 20 tahunbeliau itu dilihat semakin jauh apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan pelaksanaan Perintah Darurat kepada Agong pada Jumaat lepas.

Susulan itu, Agong memanggil Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dipersembahkan Muhyiddin. – SM

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button