
“Anwar: Tiada Lagi Buah Import dalam Majlis Kerajaan”
PUTRAJAYA, 20 Jun 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk hanya menghidangkan buah-buahan tempatan dalam setiap acara rasmi kerajaan, sebagai usaha menyokong industri pertanian domestik serta mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import.
Arahan itu selari dengan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan import, termasuk buah-buahan dan ikan premium seperti avokado dan ikan kod yang lazimnya dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.
“Makanlah buah tempatan. Perbendaharaan dah bagi arahan ya – ‘no imported fruit’ ya,” tegas Anwar semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pagi tadi.
Menurut beliau, arahan tersebut bukan sahaja selari dengan prinsip ekonomi MADANI, malah berpotensi meningkatkan permintaan terhadap hasil tani tempatan dan membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada petani dan pengusaha makanan dalam negara.
Anwar turut mencontohi beberapa negara jiran seperti Laos, Vietnam dan Thailand yang konsisten menghidangkan makanan tempatan dalam semua majlis rasmi kerajaan mereka.
“Secara automatik, mereka pastikan 100% makanan tempatan. Kalau kita laksanakan perkara sama, peluang kepada pengeluar tempatan lebih luas,” katanya.
Dalam nada berseloroh, Perdana Menteri berkongsi pengalamannya sebelum ini ketika melihat sajian mewah di kediaman rasmi Seri Perdana, termasuk ikan kod import.
“Ikan kod? Tak payahlah… bagi ikan keli pun tak apa. Saya suka ikan keli. Walaupun ada orang geli,” ujarnya sambil mengundang ketawa hadirin.
Anwar turut menegaskan bahawa peluasan SST bukan untuk membebankan rakyat biasa, sebaliknya menyasarkan barangan mewah yang dinikmati golongan berada. Hasil kutipan cukai ini pula, katanya, digunakan untuk memperkukuh sistem sokongan rakyat termasuk dalam sektor pendidikan, kesihatan dan bantuan langsung.
“Kita mesti lihat dari sudut makro. Belanjawan baharu memberi fokus kepada sektor-sektor utama rakyat. Itu keutamaan kita.”
Kebaikan Langkah Kerajaan Menggalakkan Hidangan Buah Tempatan dalam Acara Rasmi:
-
Menyokong Petani Tempatan
– Meningkatkan permintaan terhadap hasil pertanian tempatan secara langsung memberi manfaat kepada petani dan pekebun kecil.
– Membantu menjamin pendapatan stabil dan menggalakkan pertanian skala kecil serta komuniti luar bandar. -
Mengurangkan Kebergantungan kepada Import
– Mengurangkan aliran keluar wang negara untuk membeli buah-buahan import.
– Memperkukuh sekuriti makanan negara dengan meningkatkan kebergantungan kepada sumber dalaman. -
Memacu Pertumbuhan Ekonomi Domestik
– Menggalakkan pengeluaran dalam negara akan merangsang pertumbuhan sektor pertanian, logistik, dan peruncitan tempatan. -
Mengurangkan Jejak Karbon dan Menjaga Alam Sekitar
– Buah-buahan tempatan tidak memerlukan pengangkutan jarak jauh seperti buah import, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran. -
Mengukuhkan Identiti Budaya dan Warisan Makanan
– Mengangkat buah-buahan tropika seperti durian, rambutan, manggis dan pisang sebagai simbol kekayaan biodiversiti negara.
– Mempromosi budaya pemakanan tempatan kepada delegasi luar dan generasi muda. -
Seiring dengan Pelaksanaan SST
– Langkah ini menyokong pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap barangan import mewah, menjadikan buah tempatan sebagai alternatif lebih murah dan berpatutan. -
Menjadi Contoh kepada Sektor Swasta
– Tindakan sektor awam boleh menjadi pemangkin kepada restoran, hotel, dan katering swasta untuk turut memperbanyak penggunaan buah-buahan tempatan.
Langkah ini selaras dengan prinsip ekonomi MADANI yang menekankan kelestarian, kesejahteraan rakyat dan keadilan ekonomi.
Kadangkala langkah mudah menjadi solusi kepada pelbagai permasalahan, contoh bagaimana satu ketika kerajaan pernah menjalankan kempen minum air kelapa muda bagi mengatasi penjualan kelapa matang yang merosot.
Kini minum air kelapa muda sudah menjadi budaya dan bisnes menjual air kepala serta produk berkaitan menjadi sesuatu yang menguntungkan.