
Anwar Tekan Perpaduan dan Integriti Dalam Pertemuan Bersama Pimpinan KEADILAN Sarawak
KUCHING, 22 Jun 2025 – Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan untuk terus merangkul kekuatan akar umbi serta menjunjung nilai integriti dalam kalangan pimpinan parti.
Dalam satu pertemuan bersama pimpinan KEADILAN Sarawak hari ini, Anwar menyeru agar semua pemimpin, khususnya mereka yang menang dalam pemilihan parti baru-baru ini, tidak bersikap angkuh, sebaliknya bekerjasama dengan semua pihak termasuk calon yang tewas.
“Setiap daripada kita punya peranan dan kekuatan tersendiri untuk terus bekerja demi rakyat,” katanya.
Menurut Anwar, membina kekuatan KEADILAN di Sarawak bukan satu tugas mudah, namun beliau optimis bahawa dengan iltizam bersama, parti itu mampu bertapak kukuh di negeri berkenaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kuasa dan kedudukan bukanlah lesen untuk bersenang-lenang atau menyalahgunakan amanah rakyat.
“Setiap pimpinan wajib menjunjung integriti, telus dalam tindakan, dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat. Amanah yang diberi bukan milik mutlak – ia tanggungjawab besar yang mesti dipikul dengan jujur dan ikhlas,” tegasnya lagi.
Pertemuan tersebut disifatkan sebagai medan muhasabah dan pengukuhan hala tuju perjuangan KEADILAN, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.