Nasionalpilihan

Penggunaan kalimah Allah hanya terpakai di Sarawak

Kebenaran pengunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian hanya terpakai khususnya di Sarawak dan bukan negeri-negeri lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah dijelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai penggunaan kalimah tersebut hanya khusus dalam kes di Sarawak sahaja.

“Ini khusus dalam kes Sarawak, kita kena faham Sarawak dulu tidak terikat dengan keputusan negeri-negeri.

“Ia tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang atau Selangor. Ini hanya khusus dalam kes di Sarawak yang dah kita kalah awal.

“Kerana di Sarawak memang diputuskan oleh negeri itu sebegitu rupa, kita kena faham dengan penjelasan Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Bunga Tanjung Minyak di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Tan Sri Razarudin Hussain.

Ahad lalu media melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Pada Mac 2021 kerajaan negeri Sarawak memaklumkan tiada larangan bagi penganut Kristian di negeri itu untuk menggunakan kalimah Allah.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataannya memberitahu kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mempertahankan dan memelihara toleransi beragama di Sarawak.

Malah ia disifatkan sebagai salah satu faktor penyatuan utama perpaduan rakyat di negeri itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.

Kata kenyataan itu lagi, Sarawak konsisten dengan dasar toleransi agama sejak pentadbiran Tun Abdul Taib Mahmud sehingga kini di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. – SM

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button