
Anwar & Prabowo Satu Suara Demi Asia Tenggara Yang Stabil dan Makmur
Jakarta, 27 Jun 2025 – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto hari ini mengadakan pertemuan tertutup sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jakarta.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, kedua-dua pemimpin merumuskan hasil perbincangan yang komprehensif merangkumi isu dua hala, serantau dan global.
Kedua-dua pihak menegaskan keserasian pandangan dalam pelbagai isu penting, mencerminkan hubungan strategik dan persahabatan akrab antara Malaysia dan Indonesia. Pemimpin-pemimpin itu turut bersetuju mempercepat kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.
“Langkah mempergiat kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran pengetahuan, peningkatan perdagangan, pelaburan serta pemerkayaan budaya,” ujar Perdana Menteri.
Dalam semangat saling mempercayai, Malaysia dan Indonesia turut bertekad menyelesaikan isu-isu sempadan yang tertangguh termasuk maritim, dengan pendekatan menang-menang demi menjamin hubungan harmoni dan kestabilan jangka panjang.
Sebagai pengasas ASEAN, kedua-dua negara menegaskan komitmen teguh terhadap perpaduan dan kestabilan rantau ini. Mereka sepakat bahawa ASEAN yang bersatu amat penting dalam menghadapi cabaran global semasa dalam aspek ekonomi, politik dan keselamatan.
“Hubungan erat Malaysia-Indonesia akan terus dijadikan teladan dan pemangkin kepada kesatuan ASEAN yang lebih utuh, demi kesejahteraan rakyat serantau,” menurut kenyataan bersama itu.
Lawatan ini memperkukuh lagi peranan kedua-dua negara sebagai tunjang kestabilan dan pembangunan serantau dalam era mencabar yang memerlukan kerjasama erat.