Berita

Pegawai Daerah Jelebu tak benarkan program diadakan dalam dewan milik majlis daerah

JELEBU: Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan Pegawai Daerah itu yang enggan membenarkan penggunaan dewan serbaguna bagi menyampaikan bantuan persekolahan para pelajar di kawasan berkenaan.

Tegasnya, bantuan itu disalurkan kepada semua pihak yang memerlukan tanpa mengira perbezaan fahaman politik kepartian.

Ujar Jalaluddin, pihaknya telah menghantar surat permohonan untuk menggunakan Dewan Majlis Daerah Jelebu dan ia telah mendapat kelulusan.

“Tetapi di saat-saat akhir iaitu pada semalam, Pejabat Pegawai Daerah memaklumkan bahawa Dewan Majlis Daerah Jelebu tak boleh digunakan dan menyarankan penggunaan Dewan Petaling.

“Saya bersetuju kerana tujuannya hendak memudahkan penerima bantuan kerana ia terletak di kawasan Kuala Klawang dan Taman Cengal.

“Tetapi, jam 10.30 malam tadi, Pejabat Daerah menghantar pesanan kepada saya bahawa Pegawai Daerah tidak membenarkan saya menggunakan dewan ini, tanpa memberikan sebarang alasan,” katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu Jalaluddin mempersoalkan apakah tindakan tidak membenarkan penggunaan dewan itu disebabkan kaitan politik kepartian atau sebaliknya.

Beliau seterusnya menggesa Pegawai Daerah memberikan alasan disebalik tindakan itu.

“Saya fikir ini adalah tindakan gila dari seorang Pegawai Daerah. Sepatutnya sebagai seorang individu yang menjalankan tugas demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat, mesti menjalankan tanggungjawabnya tanpa mengambil kira fahaman politik dan sebagainya.

“Saya fikir beliau tidak layak untuk bertugas sebagai Pegawai Daerah di Jelebu. Kejadian sebegini tak sepatutnya terjadi. Ini bukan untuk saya, tetapi untuk penerima yang dalam kalangan anak-anak yang bersekolah.

“Kalau saya gunakan dewan untuk acara parti saya tiada masalah untuk dia halang, tetapi ini atas kepentingan org ramai,” tegasnya.

Walau bagaimanapun program itu tetap diteruskan dengan Jalaluddin memberikan bantuan prapersekolahan tersebut di perkarangan dewan serbaguna di tengah panas terik.

(Visited 621 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button