Nasional

Anwar nafi ada saham dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Menurut Anwar, khabar angin yang mengaitkan namanya dengan syarikat tertentu di Bursa Malaysia adalah palsu.

Malah tindakan pihak terbabit membuat spekulasi itu dianggap mempunyai niat untuk menipu para pembeli saham.

“Saya difahamkan tersebar khabar angin di pasaran saham yang mengaitkan nama saya dengan kaunter-kaunter tertentu di Bursa Malaysia. Ini adalah tidak benar sama sekali.

“Ingin ditegaskan bahawa saya tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham,” tegas Anwar.

Justeru beliau meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit.

Langkah itu perlu bagi memastikan pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu.

“Saya meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam satu kenyataan.

Anwar dijadualkan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah esok di Istana Negara.

Beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk mengambil alih kerajaan daripada pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Pada 23 September lalu, presiden PKR itu pada satu sidang media mendakwa dia mempunyai sokongan yang “kukuh dan menyakinkan” untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dan mempunyai “dokumen tetap yang tidak boleh diragui” bagi membuktikannya.

Beberapa perkongsian di media sosial mendakwa pengumuman Anwar untuk mengambil alih kerajaan turut mempengaruhi pasaran saham.-SM

(Visited 279 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button