Politik

Anwar menghadap Agong: Ketua Pemuda PKR minta ahli solat hajat

SELURUH anggota Parti Keadilan Rakyat dan penyokongnya diminta untuk mengadakan solat sunat hajat sempena majlis Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim  menghadap Yang di-Pertuan Agong yang dijadual berlangsung Selasa.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir yang membuat seruan itu berkata, solat hajat itu juga bagi mendoakan majlis itu akan berjalan dengan lancar dan penuh tertib.

“Alhamdulillah, kita menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk menerima mengadap YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN pada Selasa depan.

“Sehubungan dengan itu, saya bersama kepimpinan AMK ingin mengajak seluruh anggota parti serta pendokong PKR untuk melakukan solat sunat hajat dan mendoakan agar segalanya berjalan baik, penuh tertib dan lancar,” kata Akmal.

Beliau turut meminta anggota parti untuk kekal bertenang dan menghormati Perintah Peraturan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti yang disarankan oleh Anwar.

“Kita juga mendoakan keselamatan dan perlindungan buat keseluruhan rakyat Malaysia daripada wabak COVID-19. Solat Sunat Hajat boleh dilaksanakan mengikut kapasiti masing-masing di mana jua anda berada.

“Semoga Allah kurniakan kepimpinan negara yang mempunyai halatuju dan stabil, juga kesembuhan dan perlindungan daripada wabak COVID-19 kepada seluruh rakyat Malaysia insya-Allah,” kata Akmal.

Anwar dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan untuk beliau hadir menghadap pada Selasa depan.

“Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.

“Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober 2020, Insya-Allah,” kata Anwar.

Anwar juga berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang beliau sebut sebelum ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Anwar.

Pada 23 September lalu Anwar mendakwa mempunyai sokongan majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Anwar dalam sidang media khas itu berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong  sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).-SM

 

(Visited 364 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button