Politik

Anwar mengadap Agong 11 pagi ini?

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 11 pagi ini.

FMT berkata, waktu tersebut disahkan oleh sumber kepada portal berkenaan.

Semalam Suara Merdeka melaporkan, waktu Ahli Parlimen Port Dickson itu mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara masih menjadi misteri.

Pertanyaan media mengenai masa pertemuan itu dalam kumpulan WhatsApp rasmi kumpulan media PKR juga tidak dijawab.

Turut menimbulkan persoalan apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenaya Polis Diraja Malaysia, Datuk Huzair Mohamad dalam satu kenyataan memberitahu, Anwar berkelapangan untuk hadir ke Bukit Aman bagi satu siasatan pada pagi esok.

Anwar dipanggil berikutan enam laporan polis dibuat terhadap beliau berkaitan penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

“Sehubungan itu YB Dato Seri Anwar Bin Ibrahim telah diminta untuk hadir memberi keterangan pada 12 Oktober 2020 jam 11 pagi.

“Namun begitu Setiausaha Sulit belau memaklumkan bahawa YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim hanya dapat hadir pada 13 Oktober 2020 jam 9.00 pagi,” kata Huzir.

Polis Diraja Malaysia telah menangguhkan janji temu bersama Anwar pada tarikh yang lain.

Bulan lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Ketua pembangkang itu berkata, Agong sudah menerimanya untuk menghadap, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada 21 Sept lalu.

Pada sidang media 23 Sept lalu, Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya dan berkata, beliau hanya akan berbuat demikian ketika menghadap Agong.

Minggu lalu, Anwar dilaporkan berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya kepada Agong.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut meminta rakyat terus bertenang, menjaga kesihatan diri dan mematuhi perintah kawalan pergerakan pemulihan yang sedang dilaksanakan.-SM

 

 

 

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button