Nasional

Banjir: Institusi pendidikan bawah KPM beroperasi seperti biasa

SEMUA institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terjejas akibat banjir serta yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS), telah beroperasi seperti biasa bermula hari ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, dalam tempoh 11 Nov sehingga semalam, sebanyak 133 sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan satu pusat permata di Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Sabah, Sarawak, Johor dan Perak terlibat dengan bencana banjir Monsun Timur Laut.
Dalam tempoh itu juga sebanyak 207 institusi pendidikan di bawah KPM di 10 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Sabah telah dijadikan PPS iaitu 173 sekolah rendah, 33 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.
Dalam sidang media berhubung situasi terkini institusi pendidikan KPM terkesan bencana banjir di Putrajaya hari ini, beliau berkata setakat pukul 4 petang semalam, Laporan Dashboard Pelaporan Banjir KPM menunjukkan sembilan sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Kelantan, Pahang dan Sarawak masih terlibat banjir.
Pada masa ini, katanya satu sekolah rendah masing-masing di Kelantan dan Pahang masih dijadikan PPS.
“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) telah mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan sekolah boleh beroperasi seperti biasa seperti memindahkan stok atau lebihan perabot dan buku teks daripada sekolah dalam daerah yang sama ke sekolah yang memerlukan,” katanya.
Fadhlina berkata PPD dan JPN sedang mengumpulkan anggaran kerosakan yang dialami oleh institusi pendidikan di bawah KPM yang terlibat dengan banjir.
“Laporan awal yang diterima, anggaran kerosakan akibat banjir kali ini melebihi RM1 juta yang melibatkan kerosakan perabot, pagar dan fizikal bangunan di negeri terlibat banjir, serta aset yang tidak boleh dipindahkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya.
(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button