Nasional

Anwar Ibrahim terima mandat terajui Malaysia biar pun hutang negara RM1 trilion

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau diberi mandat memimpin dalam keadaan hutang negara lebih RM1 trilion.

Beliau berkata, perkara itu bukan fitnah sebaliknya diteliti di setiap agensi di mana berlaku kebocoran dan ketirisan.

“Saya kerja kuat meneliti fail-fail, sebab itulah beberapa projek ditangguhkan, teliti semula atau batalkan, bukan maksudnya untuk mencerca mana-mana tokoh politik, saya tidak sebut nama tokoh politik.

“Tapi saya kata projek tebatan banjir kerana banjir itu menyeksa rakyat dan yang jadi mangsa itu orang miskin dan majoriti yang miskin itu Melayu.

“Sebab itu kalau kita nak belanjakan kita kena teliti , ini soal tadbir urus, mengurus negara itu harus dengan ketertiban, peraturan dan ke arah yang betul.


“Jadi bila saya lihat umpamanya dilulus dengan spontan projek tebatan banjir , syarikat-syarikat dipertikai, beberapa persoalan tidak dijawab , saya minta ditangguhkan dan diteliti semula. Esok saya ke Kementerian Kewangan saya akan kaji, dan itu benar bukan fitnah, memang diluluskan tapi belum dilaksanakan kerana pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Beliau dipetik berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

Khamis lalu, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan beliau tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berhubung projek tebatan banjir.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan jumlah peruntukan RM7 bilion yang hendak dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini berikutan peruntukan asal adalah RM15 bilion.

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button