Nasional

Anwar Ibrahim Rasmi NTW 2025, Tekankan Latihan Semula dan Gaji Setimpal dalam Era AI dan Semikonduktor

BUKIT JALIL, 14 Jun 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Minggu Latihan Kebangsaan 2025 (National Training Week – NTW 2025) yang menjadi platform penting dalam memperkasa modal insan dan masa depan tenaga kerja negara.

Dalam ucapannya, Anwar menekankan keperluan segera untuk merombak pendekatan latihan negara agar selari dengan perubahan pesat dunia, terutamanya dalam sektor digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan semikonduktor.

“Kita tidak boleh lagi kekal dengan sistem lama. Dunia sudah berubah, dan kita mesti berubah bersama,” tegasnya.

Beliau berkata, Malaysia kini merupakan antara hab strategik semikonduktor dan AI di rantau ini, dengan pelaburan besar seperti oleh Infineon Technologies memerlukan puluhan ribu tenaga mahir dan jurutera. Justeru itu, reskilling dan upskilling tenaga kerja menjadi keutamaan negara.

TVET Makin Diterima, Levi Dikecualikan Setahun

Anwar turut memaklumkan bahawa permohonan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kian meningkat, termasuk dalam kalangan pelajar cemerlang, mencerminkan perubahan tanggapan masyarakat terhadap pendidikan teknikal.

Sebagai langkah menyokong institusi latihan, beliau mengumumkan pengecualian bayaran levi selama setahun kepada semua institusi pendidikan dan latihan – dari prasekolah hingga ke pengajian tinggi, bermula 1 Januari 2026.

“Langkah ini memberi ruang kepada institusi memberi fokus penuh kepada pemerkasaan mutu latihan dan pendidikan,” katanya.

Gaji Setimpal dengan Kemahiran, Swasta Diminta Ikut Jejak

Dalam memastikan latihan memberi pulangan bermakna kepada pekerja, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kadar upah mesti seiring dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti. Beliau menyeru syarikat swasta, terutamanya yang mencatat keuntungan besar, untuk menunaikan tanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka.

“Kerajaan telah meluluskan pelarasan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah. Syarikat-syarikat swasta juga wajar berlaku adil kepada tenaga kerja mereka,” ujar beliau.

Bina Modal Insan Seimbang – Mahir, Berjati Diri

Mengakhiri ucapannya, Anwar menegaskan bahawa latihan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan industri, tetapi untuk membentuk insan berjati diri dan cinta kepada budaya dan bangsa.

“Pembangunan negara mesti mengakar ke bumi, sambil menggapai ke langit,” katanya penuh simbolik.

Minggu Latihan Kebangsaan 2025 akan melibatkan pelbagai program latihan percuma di seluruh negara, merentasi pelbagai sektor dan golongan usia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button