Nasional

Anwar Ibrahim bersama lebih 2,000 jemaah Masjid Putra bermunajat menuju 2023!

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini menyertai lebih 2,000 jemaah di Masjid Putra di sini untuk menunaikan solat hajat dan bacaan Yasin sempena program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023.

Beliau yang berbaju Melayu tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 6.21 petang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar sempat menjamu selera bersama jemaah yang hadir sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Turut serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Solat Maghrib dan solat hajat diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali, disusuli bacaan yasin dan doa selamat.

Anwar dijadual menyampaikan amanat khas pada 8 malam yang akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum menunaikan solat Isyak pada 8.30 malam.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka yang sepatutnya diadakan malam ini, dibatalkan berikutan keadaan beberapa negeri dilanda musibah banjir selain bagi menghormati mangsa-mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, baru-baru ini.

— BERNAMA

(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button