Politik

Anwar gesa tolak politik tipu helah

POLITIK tidak sekadar perebutan kuasa tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan.

Justeru Presiden PKR Datuk Seri Anwar meminta agar politik tipu helah ditolak.

“Tolak politik tipu helah. Politik tidak sekadar perebutan kuasa tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan. Untuk membela rakyat atau sekadar meneruskan sistem lama yang lapuk dan usang? ” tanya Anwar.

Dalam hantaran terbaharunya, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkongsi video mengenai ada pihak yang tiba-tiba muncul mahu menjadi juara yang diibaratkan beliau sebagai menangguk di air kerus.

“Dalam keadaan sekarang ada yang menangguk di air keruh, ada yang sekonyong-konyong nak muncul jadi juara. Tetapi apa yang saya nak tegaskan balik pada landasan.

“Politik ini bukan sepak terajang politikus untukk sekadar mencari helah taktik untuk merebut kuasa. Politik adalah terkait dengan urus tadbir, persoalan rakyat.

“Apakah dasar yang dikemukakan? Apakah dasar ini mengekalkan corak pentadbiran usang, lapuk rasuah menindas seperti yang berlaku, sekarang atau pun dahulu,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Pakatan Harapan kini dalam keadaan tidak menentu apabila masih belum mencapai kata sepakat mengenai calon perdana menteri dari gabungan itu.

Media semalam melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan beliau bersama Parti Amanah Negara, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP mencalonkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut hadbir beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M. Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan di Rumah Tetamu Sabah dekat sini dua hari lalu.

Tambah Dr. Mahathir, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala anaknya, Datuk Seri Muhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Bagaimanapun Mohamad Sabu dan Guan Eng berkata, cadangan menamakan Presiden Warisan itu sebagai calon perdana menteri akan dibincangkan di peringkat kepimpinan Amanah dan DAP serta dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk diputuskan secara bersama.

Menurut mereka, pertemuan beberapa pimpinan DAP dan Amanah sebelum ini dengan Dr Mahathir merupakan pertemuan tidak rasmi.

“Amanah dan DAP berpandangan ia adalah suatu opsyen baru untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan dan Warisan dalam pilihan raya umum ke-14 lalu,” kata mereka.

PKR sebelum ini menegaskan mereka mahukan Anwar sebagai calon perdana menteri dari Pakatan Harapan dan  menolak cadangan bagi mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-9.

“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

“Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” kata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.-SM

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button