fbpx
Nasional

Nasihat Anwar kepada Dong Zong, jika diteruskan boleh hangatkan suhu politik, kaum

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dinasihatkan tidak meneruskan cadangan  untuk mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ini.

Ini bagi mengelakkan berlakunya kontroversi tulisan Jawi yang boleh menghangatkan suhu politik dan kaum di negara ini,

“Penganjuran sidang anti-Jawi akan mengundang reaksi sidang pro-Jawi.

“Perlu diingat bahawa tulisan Jawi merupakan sebahagian daripada khazanah budaya bangsa dan negara,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan hari ini.

Dong Zong bersama dengan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) merancang untuk mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember bagi membantah pengajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah vernakular.


Anwar berkata, Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan pada mulanya ditulis dalam tulisan Arab yang diubah suai kepada tulisan Jawi.

Katanya, pengajaran tulisan jawi di sekolah venakular itu adalah langkah menyemarakkan kesedaran lintas dan budaya.

“Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum dan budaya. Kita harus berbangga dan menghormati kepelbagaiannya. Keutamaan bidang pendidikan adalah ke arah peningkatan mutu pelajaran.

“Maka sekali lagi saya menggesa rakan-rakan khususnya Dong Zong dan pertubuhan Melayu lainnya agar tidak meneruskan dengan sidang anti atau pro-Jawi,” katanya. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button