NasionalNegeri

Raja Muda Perlis berkenan lawat pejabat Jemaah Dato’-Dato’ Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Jemaah Dato’-Dato’ Perlis di Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda selaku Penaung Jemaah buat pertama kalinya ke pejabat berkenaan yang dibeli tahun 2012 itu disambut oleh Presiden Jemaah Dato’-Dato’ Perlis, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak (B) serta barisan jawatankuasanya.

Husin seterusnya mempersembahkan taklimat terkini mengenai Aset Jemaah; Struktur Organisasi; Ekonomi dan Perniagaan; serta Majlis Santapan Malam Tahunan 2023 yang dicadangkan pada bulan Oktober atau November ini.

Turut dimaklumkan kepada Baginda ialah kejayaan kerjasama strategik pihak Jemaah bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis melaksanakan Program Kecemerlangan Pendidikan yang melibatkan para pelajar Tingkatan 5 di 10 buah sekolah menengah sekitar negeri Perlis yang dimasukkan dalam program ini setiap tahun bagi mengapungkan para pelajar berprestasi rendah di kategori C dan D.

Program berbentuk tuisyen ini dikendalikan oleh guru-guru yang dilantik oleh Jabatan Pendidikan Perlis.

Kelas-kelas tuisyen dilaksanakan tiga kali seminggu melibatkan mata pelajaran wajib lulus iaitu Bahasa Malaysia, Matematik dan Sejarah di sekolah masing-masing di luar masa persekolahan biasa.

Pada kesempatan yang sama Raja Muda mengucapkan tahniah kepada Jemaah Dato’-Dato’ Perlis atas usaha mengembangkan sayap dengan penubuhan Yayasan Jemaah Dato’-Dato’ Perlis yang berorientasikan perniagaan.

Baginda menasihatkan agar mereka yang diberikan amanah akan mengambil pendekatan yang cermat dan penuh berhati-hati.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengesyorkan supaya kempen memperbanyak lagi keahlian diteruskan dengan lebih giat lagi, bagi menarik perhatian Dato’-Dato’ di luar sana akan wujudnya pertubuhan ini.

Insya-Allah, apabila tujuan dan matlamat penubuhan dan khidmat bakti yang boleh dicurahkan kepada masyarakat menerusi pertubuhan ini dihebahkan, Jemaah Dato’-Dato’ Perlis akan lebih menyerlah keterlihatannya pada masa hadapan.

Untuk rekod, Jemaah Dato’-Dato’ Perlis yang merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang didaftarkan pada 12 Disember tahun 2001 dan kini mempunyai jumlah keahlian secara sukarela seramai 216 orang.

Walaubagaimanapun 21 orang telah meninggal dunia dan jumlah terkini adalah seramai 195 orang sahaja.

Keahlian Jemaah ini terdiri daripada penerima anugerah Dato’-Dato’ Perlis sebagai Ahli Biasa, sementara Dato’-Dato’ yang mendapat kurniaan luar daripada Perlis sebagai Ahli Bersekutu.

Ahli Kehormat pula, dilantik oleh Jawatankuasa Jemaah terdiri daripada mereka yang dikenalpasti dapat membantu dan memajukan perjalanan Jemaah. – SM

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button